Lima ditahan curi kabel logam tembaga

Kabel logam yang terdapat di kilang itu.
Kabel logam yang terdapat di kilang itu.
A
A
A

KULIM - Lima individu termasuk dua pekerja sebuah syarikat ditahan selepas didapati terlibat dalam kes mencuri kabel logam tembaga milik kilang semikonduktor pelabur asing Kawasan Perindustrian High Tech di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Nor berkata, lima suspek berusia 26 hingga 34 tahun itu ditahan pada 24, 25 dan 26 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian 22 Mei lalu, pengurus kilang berkenaan mendapati dua dram kabel gulungan tembaga yang diletakkan di kawasan kilang telah hilang.

"Kabel ini bagi kegunaan kerja pendawaian dan ubah suai dalam kilang. Kerugian dianggarkan sebanyak RM130,000," katanya.

Safuan berkata, pada 24 Mei lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat polis daerah (IPD) Kulim menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pekerja am syarikat terbabit.

"Lelaki berkenaan tiada rekod lampau. Peranannya mengalihkan gulungan kabel yang ada di kilang dengan menggunakan forklift kilang ke dalam lori milik syarikat luar," katanya.

Beliau berkata, pada 25 Mei lalu tiga lagi suspek berusia 27 hingga 34 tahun ditahan dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah.

Katanya, tangkapan suspek kelima pada 26 Mei lalu membabitkan seorang pegawai keselamatan kilang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis merampas sebuah lori jenis Nissan yang digunakan untuk memunggah kabel dan resit menjual beli logam yang harganya melebihi RM70,000.

"Logam itu dijual secara pasaran gelap dan kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Safuan berkata, semua kilang dinasihati sentiasa memantau pergerakan keluar masuk orang dan kenderaan yang membawa risiko kepada kehilangan secara sulit.

"Selain itu pantau tindak tanduk pekerja syarikat sendiri pengawal keselamatan kilang serta merekod keluar masuk orang dan kenderaan.

"Kamera litar tertutup (CCTV) juga perlu dipastikan berfungsi dengan baik. Menjelang musim perayaan, penjenayah akan mengambil kesempatan di atas cuti panjang pihak kilang," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 381/379 Kanun Keseksaan.