Malaysia promosi konsep maqasid syariah kepada dunia
Fuziah-Salleh
A
A
A
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, kerangka maqasid syariah adalah untuk melindungi lima matlamat sejagat, iaitu melindungi agama, melindungi kehidupan, melindungi minda dan daya berfikir, melindungi waris keturunan dan melindungi harta benda dan sumber-sumber.
"Maqasid syariah bercakap mengenai penolakan kepada kemusnahan tetapi menggalakkan pembangunan konstruktif yang memberi manfaat kepada manusia," kata Fauziah ketika berucap pada majlis makan malam sempena persidangan mengenai kualiti udara yang lebih baik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Beliau berkata Malaysia juga sedang mempromosikan konsep itu di peringkat antarabangsa, dan menambah setiap kementerian akan menyerapkan konsep tersebut tersebut dalam pentadbiran mereka.
"Malaysia adalah sebuah negara Islam, kami berharap model Malaysia ini akan dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan kami berharap dunia akan memandang kepada Malaysia sebagai model ikutan dalam segenap lapangan kehidupan dan tadbir urus," katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata adalah menjadi impian Malaysia bahawa pada satu hari nanti rakyat boleh minum air terus dari pili seperti mana yang dinikmati rakyat Denmark.
Katanya di Malaysia air pili perlu ditapis menggunakan penapis tetapi "satu hari nanti kita berharap rakyat boleh minum terus dari pili."
"Adalah juga menjadi impian kita untuk mampu berjalan di kawasan lapang tanpa kualti udara menjejaskan kesihatan kita.
"Adalah menjadi impian kita juga untuk mengatasi apa juga pencemaran yang ada, sama ada pencemaran air, udara, alam sekitar atau karbon dioksida," kata beliau.
Menteri Muda Sarawak (Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana) Datuk Mohd Naroden Majais mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!