Cerok Paloh diterangi cahaya lampu pelita ketupat

Kamisah (kanan) bersama suaminya, Muhammad Annuar menghidupkan panjut dan lampu pelita ketupat di rumahnya di Cerok Paloh di sini, semalam.
Kamisah (kanan) bersama suaminya, Muhammad Annuar menghidupkan panjut dan lampu pelita ketupat di rumahnya di Cerok Paloh di sini, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Suatu ketika dulu, tradisi memasang pelita raya atau panjut di keliling rumah menjadi sebahagian kewajipan terutama menjelang Aidilfitri.

Kebiasaannya, ia dipasang ketika umat Islam berpuasa pada hari ke-27 yang lebih dikenali dengan nama malam tujuh lekor namun semakin dilupai.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri di Kampung Cerok Paloh masih mengekalkan tradisi memasang pelita setiap kali menyambut Ramadan dan Syawal bertujuan mengimbau kenangan silam selain mewujudkan kemeriahan.

Muhammad Annuar Yusoff, 35, berkata, setiap kali Ramadan, dia tidak melepaskan peluang memasang pelita bagi memberi kelainan dan keistimewaan pada bulan keberkatan ini.

“Tradisi memasang pelita hanya dibuat setiap Ramadan dan inilah keunikan bulan ini. Tiap-tiap tahun saya dan isteri akan memasang pelita apabila nak dekat dengan hari raya.

"Namun, tahun ini disebabkan kami seronok, kami mengambil keputusan untuk membuat kelainan dengan membuat pelita berbentuk ketupat dan panjut bagi memeriahkan suasana rumah kami.

"Saya seronok melihat halaman rumah diterangi cahaya. Meskipun terpaksa mengeluarkan kos lebih kurang RM7 setiap malam bagi membeli diesel, tetapi itu bukanlah bebanan untuk saya meneruskan tradisi ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Cerok Paloh di sini.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Annuar berkata, pelita berbentuk ketupat merupakan idea daripada isterinya, Kamisah Selamat, 40, yang mengambil masa seharian untuk menyiapkan lampu pelita tersebut.

Menurutnya, sebanyak 16 lampu pelita diperlukan bagi menghidupkan rekaan kreatif mereka yang hanya menggunakan kayu dan buluh yang dicari di hutan di sekitar rumah mereka.

"Saudara-saudara kami pun seronok bila tahu kami nak buat pelita ketupat dan panjut dan mereka juga banyak membantu kami untuk menyiapkan lampu pelita tersebut.

"Nak membuatnya tidak sukar tapi cabaran bagi saya dan isteri, kami nak pastikan pelita ketupat itu berdiri tegak dan tidak jatuh apabila ditiup angin," katanya.

Sementara itu, Kamisah berkata, ini semua dilakukan bagi mengelakkan tradisi dilupakan dan mengembalikan nostalgia bulan Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, dia juga yakin dengan adanya lampu pelita ketupat tersebut akan mampu menjadikan tarikan pengunjung dan orang kampung di sekitar Cheroh Paloh.

"Ini juga cara kami untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara sanak saudara kerana selepas Maghrib, kami semua akan berkumpul dan berborak di samping anak-anak bermain bunga api.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!