Penurunan kadar tol 25 peratus relevan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAKYAT jelata terutama sekali pengguna lebuhraya pastinya gembira dan menyambut baik kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin apabila menyatakan bahawa kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus.

Daim sendiri mengakui cadangan itu adalah hasil kajian yang dilakukan dan terpulanglah kepada kerajaan sama ada ingin menurunkan atau tidak.

Bagaimanapun,cadangan Daim itu masih belum meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan bahawa itu pendapat peribadi Daim.

Kata Mahathir, walaupun usaha menghapuskan tol adalah antara kandungan manifesto Pakatan Harapan(PH) sebelum ini, namun ia dilihat akan menambah tanggungan kerajaan.

Barangkali kita boleh faham cadangan penghapusan tol sukar dilakukan kerajaan memandangkan kedudukan kewangan negara yang agak kurang stabil, namun pengurangan kadar secara berperingkat diharap boleh dilaksanakan.

Pembayaran tol yang mahal adalah sebahagian daripada rungutan rakyat selama ini, sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sehingga kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

Bagi PH setelah setahun memerintah kerajaan, usaha untuk memperbaiki pelbagai kepincangan dan kelemahan agensi-agensi kerajaan terutama sekali yang merugikan kewangan negara sehingga berbilion ringgit terus dilakukan.

Maklumat-maklumat terperinci mengenai perjanjian pembinaan lebuh raya antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi terbabit tidak pernah diumum dan dijelaskan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasaan bayaran tol di lebuh raya di negara kita bermula ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Maka beliau pasti tahu merungkai masalah ini demi faedah kerajaan dan rakyat.

Seperti dijelaskan Perdana Menteri, sekiranya kerajaan ingin menghapuskan tol di Lebuhraya Utara-Selatan, kerajaan perlu membeli lebuh raya itu pada harga RM30 bilion.

Jelas, sekiranya tol tidak dihapuskan, beban akan terus ditanggung pengguna. Sebaliknya kerajaan akan kehilangan wang yang banyak untuk dibayar kepada syarikat-syarikat konsesi.

Oleh itu, sebagai jalan penyelesaian terbaik, cadangan mengurangkan sehingga 25 peratus sepatutnya boleh diterima dan relevan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!