Peneroka Felda Kebangsaan tidak setuju
SHAH ALAM - Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff tidak bersetuju dengan cadangan Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) untuk memohon penangguhan bayaran hutang peneroka selama tiga bulan.
Katanya, cadangan itu tidak relevan untuk dilaksanakan kerana ia akan lebih membebankan peneroka.
“Saya tidak bersetuju untuk membuat penangguhan (bayaran hutang) semata-mata memberikan keselesaan kepada para peneroka membuat persiapan Aidifitri.“Tetapi selepas itu (Aidilfitri) mereka terpaksa menanggung beban hutang yang lebih banyak, buat apa kita hendak tambah beban mereka,”katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurut Sulong Jamil lagi, bantuan RM300 untuk peneroka yang diumumkan kerajaan sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka.
Mengulas lanjut mengenai cadangan yang disuarakan Pengerusi MPNF Datuk Mazlan Aliman itu, katanya cadangan tersebut seharusnya dinilai dengan lebih teliti sebelum disuarakan.
“Sebagai usaha untuk membantu peneroka kita seharusnya memikirkan kaedah yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak iaitu peneroka dan juga pengurusan Felda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!