Bila si miskin harap ah long boleh ubah nasib
MEMANG susah mahu faham kenapa bila tak ada duit, ah long tetap menjadi orang pertama dicari.
Semua orang tahu ah long itu lintah darat. Pinjam RM1,000 tapi kena bayar balik RM10,000. Tetapi bila terdesak nak duit, pinjam dulu, bayar belakang kira.
Setiap hari, ada saja laporan akhbar berkaitan isu ah long. Ada yang terpaksa bunuh diri akibat menanggung hutang sampai ratusan ribu malahan jutaan ringgit. Ada juga rumah yang disimbahi cat merah disertakan nota amaran: Sila bayar, jika tidak, semua ahli keluarga dalam bahaya!
Ada seorang kawan Merak Jalanan pernah menjadi mangsa ah long. Kawan ini sudah kahwin dan ada tiga orang anak yang masih belajar di sekolah menengah. Dia hanya kerja sebagai pembantu kedai manakala isterinya pula tidak bekerja. Jadi bolehlah bayangkan, gajinya memang tak cukup untuk sara hidup seisi keluarga, apatah lagi tinggal di Kuala Lumpur.
Atas nama kawan, Merak Jalanan pernah nasihatkan kawan ini jauhilah daripada ah long tetapi dia buat-buat tak dengar. Itu berlaku kira-kira setahun yang lalu.
Baru-baru ini, Merak Jalanan dapat khabar berita daripada seorang kenalannya. Dia bukan bunuh diri atau terima ancaman daripada ah long. Jalan yang dipilihnya ialah melarikan diri dari rumah.
Dengan kata lain, dia sanggup tinggalkan isteri dan tiga anaknya semata-mata tidak mahu bayar hutang ah long yang sudah mencecah ratusan ribu ringgit.
Begitulah musibah apabila berhutang dengan ah long yang tidak berperikemanusiaan. Ah long tidak peduli bagaimana susahnya hidup anda bila sudah hutang kena tahu bayar.
Merak Jalanan bolehlah nasihatkan kepada sesiapa yang masih berurusan dengan ah long, segeralah pulang ke pangkal jalan. Sekali pinjam, buruk padahnya kerana akan terjerat sepanjang hayat!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!