Malaysia tewaskan Nepal 2-0
MALAYSIA memenangi dua perlawanan menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi selepas menundukkan Nepal 2-0 dalam perlawanan persahabatan Tahap 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Dua gol masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid dan Shahrul Mohd Saad dalam separuh masa kedua melengkapkan kemenangan Harimau Malaya dengan pasukan di ranking 161 dunia selepas kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan (ranking ke-149) dalam perlawanan “play-off” menentukan tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine, Mac lepas.
Anak buah Tan Cheng Hoe yang merupakan ketua jurulatih negara bermula positif dengan menguasai perlawanan dengan usaha Syazwan Zainon dalam minit kelima terkena palang gol sebelum Muhammad Safawi merembat beberapa percubaan tetapi semuanya terus menuju penjaga gawang pelawat, Kiran Kumar Limbu.
Selepas ketandusan gol, pada separuh masa pertama, Harimau Malaya akhirnya mendapat gol sulung hasil sepakan penalti Muhammad Safawi pada minit ke-50, selepas Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan pihak lawan.
Malaysia meneruskan asakan untuk menambah jaringan sebelum Shahrul menanduk masuk bola ke dalam gawang Nepal pada minit ke-82 dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk menentang Timor Leste dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA, Jumaat ini.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Cheng Hoe menjelaskan kemenangan malam tadi adalah penting untuk membina keyakinan dalam perlawanan menentang Timor Leste.
Beliau memuji keinginan dan iltizam pasukan bimbingannya biarpun dengan keadaan padang yang tidak baik mereka tetap mengasak untuk mendapatkan gol.
“Berhadapan Nepal, ia adalah motivasi yang baik buat kami...perlawanan pemanas badan yang baik yang saya lihat pilihan terbaik yang kami ada sebelum bertemu Timor Leste.
Kami perlu meningkatkan lagi prestasi terutamanya di bahagian serangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!