Tragedi penghujung Ramadan, hanya tinggal sehelai sepinggang
PONTIAN - Keriangan sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga keluarga di Kampung Parit Jamal Benut, bertukar pilu apabila rumah mereka hangus, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi mangsa, Eremi Paing, 47, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami yang merupakan pusaka keluarga dijilat api ketika sedang lena tidur.
Namun, dia bersyukur kerana isteri Nur Azwani Rahmat, 42, dan empat anaknya, Nur Atikah, 11, Nur Aqila,9, Nur Alia,7, dan Amani,5, dapat keluar menyelamatkan diri sebaik sahaja sedar kebakaran berlaku.
“Api marak begitu cepat, tak dapat saya bayangkan kejadian ini berlaku pada hujung Ramadan ketika anak-anak sedang bergembira hendak menyambut Aidilfitri.
“Saya reda dengan apa yang berlaku cuma sebak lihat anak-anak kerana segala persiapan raya hangus.
“Semalam, kami sekeluarga baru sahaja membeli pakaian dan kelengkapan lain untuk anak-anak di sebuah pasar raya di Benut, namun tidak apa yang dilakukan,” katanya.
Eremi yang bekerja di sebuah kilang di Simpang Renggam memberitahu dia sekeluarga kini menumpang di rumah jirannya dan merancang untuk mencari rumah baharu selepas Aidilfitri nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!