Op Selamat: Tiada kompromi pesalah trafik di Aidilfitri

Abdullah (kanan) memberikan taklimat sebelum bermulanya kempen Op Selamat peringkat IPD Pasir Mas di Markas Aksem di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.
Abdullah (kanan) memberikan taklimat sebelum bermulanya kempen Op Selamat peringkat IPD Pasir Mas di Markas Aksem di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh Op Selamat yang bermula 29 Mei hingga 12 Jun bakal berdepan hukuman tegas sekiranya ditangkap melakukan kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, tindakan tegas itu bertujuan mendidik pemandu supaya tidak mengulangi kesalahan jalan raya pada masa hadapan.

“Saya ingin tegaskan, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna yang ditangkap melakukan kesalahan trafik sepanjang Op Selamat kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Op Selamat Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di Markas Pemeriksaan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 36 anggota telah ditugaskan sepanjang tempoh berkenaan.

Abdullah menyerahkan risalah kempen kepada pengguna jalan raya semasa kempen Op Selamat peringkat IPD Pasir Mas di Markas Aksem di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.
Abdullah menyerahkan risalah kempen kepada pengguna jalan raya semasa kempen Op Selamat peringkat IPD Pasir Mas di Markas Aksem di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.

Katanya, beliau berharap pengguna jalan raya dapat mematuhi arahan dan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya berharap pengguna jalan raya tidak meletakkan kenderaan mereka di tempat salah.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan yang boleh merumitkan keadaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, pihaknya turut menempatkan anggota untuk mengawal lalu lintas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Katanya, langkah tersebut bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan iaitu di pintu keluar dari negeri ini ke Thailand.

"Anggota kita sudah memulakan tugas seawal jam 6 pagi hingga 10 malam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!