Najib tiada hasrat jadi ketua umum

Paparan Facebook Najib
Paparan Facebook Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berhasrat menjadi ketua umum mahupun mengambil semula kepimpinan parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keutamaan beliau kini adalah untuk membersihkan namanya dalam dakwaan undang-undang yang sedang hadapinya.

Selain itu, katanya, beliau juga akan terus memberikan fokus kepada menyuarakan kepentingan dan mengetengahkan masalah rakyat serta memberi penjelasan tentang isu-isu yang ada kesan kepada rakyat dan negara.

"Sejak minggu lalu juga, ramai pemimpin dan ahli-ahli Umno meminta saya untuk mengambil kembali kepimpinan Umno ataupun menjadi ketua umum parti.

"Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan itu namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti," katanya menerusi Facebook peribadinya hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau sentiasa sedia memberikan pertolongan dan sokongan penuh kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan yang dipertanggungjawabkan menggalas tugas-tugas presiden dan barisan pemimpin parti jika ada permintaan.

Menurutnya, keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerahkan kepimpinan parti kepada Mohamad adalah satu tindakan mulia yang mementingkan parti, melangkaui kepentingan peribadinya.

"Sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, ini ialah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib juga yakin dengan kemampuan Mohamad dalam menyandang tugas-tugas presiden parti.

"Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula Umno," katanya.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penyerahan tugas memimpin parti kepada Mohamad.

Ia susulan kemelut yang dihadapi Umno hari ini dan beliau berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan serta kepimpinan di peringkat akar umbi fokus mengukuhkan parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!