Tragedi lampu kelip-kelip
JOHOR BAHRU – Keterujaan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mahu memasang lampu kelip-kelip di hadapan rumahnya bertukar malang apabila tangan kanannya tertusuk besi pagar, malam semalam.
Kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Padi Mahsuri 14, Bandar Baru Uda, di sini, menyebabkan Arshad Sulaiman Azli itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk menerima rawatan.
Komander operasi kes tersebut, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Hairi Nizam Mostapa berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.22 malam, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian terdapat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun cedera selepas tangannya tertusuk pada besi pagar ketika sedang memasang lampu kelip-kelip.
“Ketika remaja terbabit mahu memasang lampu itu, dia tergelincir hingga mengakibatkan tangan kanan tertusuk besi berkenaan,” katanya.
Mohd Hairi berkata, pihaknya membantu memotong besi pagar menggunakan alat pemotong hidraulik.
"Mangsa bagaimanapun tidak panik dan cemas sebelum dihantar ke HSA menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Beliau berkata, tindakan memotong besi itu terpaksa dilakukan bagi mengelak keadaannya menjadi lebih teruk.
“Operasi kemudiannya ditamatkan kira-kira jam 10.37 malam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!