Hina Mujahid: PH Parit Buntar buat laporan polis
PARIT BUNTAR - Lagi laporan polis dibuat PH Parlimen Parit Buntar hari ini bagi menggesa pihak polis membuat siasatan terhadap satu kenyataan dalam laman media sosial Facebook yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Laporan itu dibuat Naib Ketua Amanah Parit Buntar, K S Paranthaman dan beberapa pemimpin PH Parlimen Parit Buntar pada jam 12 tengah hari di Balai Polis Parit Buntar di sini.
Paranthaman berkata, kenyataan berunsur fitnah itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook dengan nama Shamsul Faisal Abdul Wahab.
“Dia juga telah menyunting satu gambar semasa perayaan Thaipusam yang menunjukkan seolah-olah Mujahid sedang menarik kavadi dalam upacara semasa perayaan berkenaan.
“Perbuatan sebegini dilihat telah menyalahgunakan kebebasan laman media sosial dan bertujuan menghina Mujahid yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen Parit Buntar,” katanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Parit Buntar, di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Khas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad.
Paranthaman berkata, perbuatan individu itu adalah mahu melagakan dan membuat hasutan kepada kedua-dua penganut agama Islam dan Hindu.
“Ia juga dilihat menghina dan mahu mencabar kewibawaan seorang menteri.
“Kami mahu kes ini disiasat dengan sebaiknya dan hukuman perlu dikenakan terhadap individu berkenaan,” katanya.
Kelmarin, tular di laman media sosial Facebook mengenai satu pautan dimuat naik berbunyi ‘Perayaan Thaipusam 8 Februari 2020 harus hukumnya PH dan Amanah sertai upacara Thaipusam, Pluralisme dalam agama, Islam Rambutan’alamin’ dengan gambar yang sudah disunting menunjukkan Mujahid menarik kavadi dalam perayaan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Gambar disunting: Mujahid lapor polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!