Lori lebih muatan langgar lampu isyarat ditahan
SUNGAI PETANI - Selepas tular di media sosial mengenai sebuah lori yang melebihi muatan melanggar lampu isyarat hingga membahayakan pengguna baru-baru ini, telah ditahan untuk tindakan undang-undang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismashuhaimi Shariff berkata, kenderaan berat yang membawa muatan besi lusuh itu telah dikenal pasti hasil maklumat pantas dari aduan awam selain tular di media sosial.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kenderaan itu membawa muatan besi lusuh dari Kilang Perwaja, Gurun sedang menuju ke Butterworth, Pulau Pinang telah memandu secara berbahaya selain besi yang dibawa melebihi muatan sehingga melanggar lampu isyarat di Sungai Lalang dan tular pada 24 Mei lalu.
"Hasil dari aduan bergambar yang dihantar orang awam kita telah berjaya mengesan lori terbabit.
"Bukan itu sahaja, kita juga telah mengambil tindakan hasil dari aduan awam di lokasi lain berdasarkan aduan berserta lokasi, laporan ringkas, masa, tempat, jenis kenderaan, salinan foto atau dokumen berkaitan jika ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Sungai Petani semalam.
Hadir sama, Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.
Menurut Ismashuhaimi, tindakan dikenakan mengikut Seksyen 58 (1)(b)(iii)Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihaknya juga mengalu-alukan orang awam untuk menggunakan platform aduan awam dan aduan bergambar sebagai salah satu strategi penguatkuasaan dalam ops kali ini jika terlihat sebarang kesalahan membabitkan pengguna jalan raya.
Sementara itu, dalam Ops HRA 2019, sebanyak 895 buah kenderaan telah diperiksa dan 199 saman telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, sehingga jam 10 malam semalam.
"JPJ turut menyita sebuah kenderaan disyaki klon kerana terdapat gangguan terhadap nombor casis kereta jenis Honda Insight.
"Kita juga mengesyaki identiti kenderaan dipalsukan termasuk pendaftaran kenderaan dan cukai jalan palsu," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihati pengguna agar tidak terpedaya dengan iklan jualan kenderaan dengan harga tidak munasabah sehingga ada mencecah RM3,000, sebaliknya membuat pemeriksaan termasuk di Puspakom bagi memastikan pendaftaran kenderaan sah bagi mengelakkan pembelian kereta klon.
Dalam ops sama, tiga kes dikenalpasti positif dadah jenis syabu dan dua kes membabitkan morfin berusia antara 17 hingga 30 tahun, ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Ops HRA 2019 membabitkan lebih 250 anggota bermula 29 Mei hingga 13 Jun depan.
Objektifnya bertujuan mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di musim perayaan dan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang.
Tumpuan diberikan kepada beberapa kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!