Simbahan minyak di Karak, insiden lama: Anih Berhad
KUANTAN - Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) Anih Berhad menafikan dakwaan berlaku simbahan minyak di Kilometer 75.7 lebuh raya itu, yang tular di media sosial.
Sebaliknya, Anih Berhad menerusi kenyataan media di sini hari ini, berkata kejadian yang tular itu merupakan insiden lama yang berlaku pada 6.28 petang, 3 Julai 2017.
"Ia adalah kemalangan lama membabitkan tujuh kenderaan yang berlaku akibat kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya," menurut kenyataan itu.
Penularan mesej di KM75.7 itu merupakan insiden kedua yang membabitkan lebuh raya itu pada bulan ini, selepas insiden pertama kononnya berlaku tumpahan minyak antara KM46.2 hingga KM46.8 arah timur berhampiran Bukit Tinggi.
Sehubungan itu, Anih Berhad meminta orang ramai untuk menghentikan penularan mesej terbabit kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan suasana panik, terutamanya semasa orang ramai rancak pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri.
"Anih Berhad memohon pengguna lebuhraya KLK tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menyebarkan gambar lama lokasi insiden kemalangan berkenaan dan jangan terpengaruh dengan penularan mesej lama.
"Pengguna boleh melayari laman sosial syarikat iaitu Twitter di @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur untuk mengetahui maklumat rasmi mengenai keadaan trafik di lebuh raya," menurut kenyataan itu.
Anih Berhad menambah pengguna juga boleh menghubungi terus talian hotline 09-547 9111 atau 1700-818-700 jika menerima maklumat yang berkaitan aktiviti khianat dalam jajaran KLK dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1). - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!