Mujahid ghairah pertahan sekutu politik, kata Mohd Amar
KOTA BHARU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah untuk mempertahankan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melanggar sensitiviti Islam.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Mujahid sepatutnya bertindak menasihati dan bukannya menyebelahi sekutu politiknya itu.
Menurutnya, menteri PH itu perlu bertindak lebih cermat dan bukan sekadar mahu meraih sokongan serta keuntungan politik sehingga lupa diri.
“Ikutlah cara yang ditunjukkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana arwah tidak pernah berbuka puasa di tempat ibadah orang bukan Islam.
“Sebaliknya Allahyarham mengajak mereka datang berbuka di tempat kita antaranya ketika Program Madinah Ramadan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Kunjungan Imam Kerajaan Arab Saudi di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Mujahid yang mempertahankan majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di kuil Gudwara Shaib, minggu lalu.
"Jika ia menyentuh soal hukum dan sensitiviti agama, umat Islam wajib mengambil berat dengan mengambil kira sempadannya.
"Orang bukan Islam tidak sesuai menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf kerana ia menyentuh sensitiviti agama," katanya.
Mohd Amar berkata, sesuai dengan jawatan Mujahid sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama, beliau perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan dengan merujuk ulama dan mufti sekiranya berlaku sebarang konflik.
ARTIKEL BERKAITAN: Hindar Islamofobia dengan fahaman agama sempit, kata Mujahid
Terdahulu, Mujahid menasihatkan masyarakat Islam di negara agar tidak terlalu fobia dengan sebarang usaha penganjuran program kebajikan di rumah ibadat agama lain sehingga boleh menjejaskan semangat keharmonian antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, berhubung isu penganjuran majlis berbuka puasa di Kuil Gurdwara Sikh, Johor Bahru oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir baru-baru ini, pihak meneliti penjelasan diberikan pemimpin PKR itu dan menyifatkan program itu tidak menyimpang daripada landasan Islam.
Menurutnya, sebagai seorang pemimpin masyarakat, adalah tidak salah Akmal menganjurkan majlis sebegitu atas usaha mempromosi semangat keharmonian antara kaum dan agama.
"Dalam penjelasan YB Akmal, bukan beliau sahaja yang berbuka puasa dengan pengurusan kuil, tetapi majlis berbuka puasa turut disertai ramai masyarakat Islam Parlimen Johor Bahru.
"Selain itu, beliau turut menjelaskan program itu diadakan di kawasan dewan kuil bukan tempat mereka beribadat, bahkan Akmal sendiri turut menekankan beliau menunaikan solat maghrib dan tarawih di masjid bukan di kuil itu.
"Jadi saya tidak nampak sebab isu pemahaman agama sempit ini perlu diperbesar dan disensasikan segelintir pihak bagi mendapatkan laba politik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!