TNB ceriakan 400 keluarga asnaf untuk sambut Aidilfitri
LEMBAH PANTAI - Sebanyak 400 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada asnaf di sekitar Lembah Pantai menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi berkongsi sinar keceriaan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
TNB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan berbentuk persiapan Syawal itu disempurnakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil kepada keluarga berkenaan dalam lima majlis berasingan pada 28 Mei lalu, yang turut dihadiri beberapa pegawai kanan TNB.
“Sebanyak 50 keluarga di lapan buah komuniti perumahan Lembah Pantai iaitu Apartment Abdullah Hukum, Apartment Putra Ria, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Kerinchi, PPR Seri Anggerik, PPR Pantai Ria, PPR Kg. Limau, PPR Seri Cempaka dan Perumahan Awam Sri Pahang, menerima sumbangan berbentuk makanan.
“Tahun lalu sumbangan yang sama hanya melibatkan asnaf di Apartment Abdullah Hukum dan Apartment Putra Ria namun pada tahun ini, bilangan penerima ditambah dengan melibatkan enam lagi komuniti di Lembah Pantai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
TNB berharap, sumbangan itu bukan sahaja dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, bahkan merapatkan lagi hubungan syarikat dengan masyarakat dalam kejiranan yang sama.
Sementara itu, Fahmi memuji keprihatinan TNB terhadap kariahnya biarpun ia antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang besar.
“Tahun lepas dua tempat tetapi tahun ini ia dikembangkan kepada lapan tempat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!