Apa salahnya beri duit raya
Gambar hiasan
A
A
A
Apabila bercakap mengenai sambutan hari raya, pasti kita akan teringat sanak-saudara di kampung, hidangan hari raya dan duit raya.
Anak kecil yang paling gembira bila tiba hari raya. Baju raya, kasut raya, tudung raya, songkok raya adalah antara perkara wajib pada Hari Raya Aidilfitri. Paling seronok dapat mengumpul duit raya. Pemberian duit raya sudah menjadi budaya dan sebati di Malaysia.
Teringat ketika zaman kanak-kanak dahulu, saya sanggup berjalan keliling kampung di Felda Soeharto semata-mata hendak mengumpulkan duit raya. Pagi keluar rumah, lewat petang baru balik. Bukan sangat mahu makan juadah ketupat, rendang dan kuih-muih raya sangat tetapi mengumpul wang dalam sampul berwarna-warni.
Saya sanggup berkunjung rumah jiran biarpun tak kenal siapa pun tuan rumah. Memang tak khusyuk ketika menjamah kuih. Mata asyik melilau kalau tuan rumah sudah pegang sampul raya. Bila dipanggil, terus kelam-kabut beratur nak kutip duit raya!
Berkemampuan atau tidak, pada hari raya tuan rumah perlu sediakan duit raya. Kalau tak dapat sediakan wang kertas, duit syiling pun memadai. Tapi kanak-kanak sekarang tidak suka wang syiling kerana menganggap nilainya terlalu kecil.
Anak sekarang amat berbeza berbanding zaman dulu. Ada segelintir yang diberi duit raya RM2 pun merungut dan tidak kurang juga yang mengatakan tuan rumah kedekut.
“Takkan seringgit je uncle?”, “Ala, 50 sen je mana cukup”, “Duit hijau je? Ingatkan duit merah” atau “Sekeping je?” Ayat-ayat ini dilontar dengan begitu bersahaja sehingga boleh menyebabkan merah muka tuan rumah dibuatnya.
Masa berlalu dengan pantas, zaman berubah. Pemberian duit 50 sen sebagai duit raya sudah ditelan zaman.
Selepas mengumpul duit raya, aktiviti yang paling disukai ialah mengira jumlah kutipan. Saya berlumba-lumba untuk menjadi orang yang paling banyak mengumpul duit raya dalam kalangan adik-beradik.
Pungutan duit raya zaman sekarang tak serupa zaman saya pada 1980-an. Dahulu dapat RM100 pun sudah rasa ‘kaya’ tetapi sekarang, senang-senang dapat kumpul ratusan hingga ribuan ringgit.
Satu perkara yang paling utama, pengalaman ketika kecil membuatkan kita yang dewasa memahami keseronokan anak kecil mendapat duit raya.
Pada masa sama, kita perlu kembali dan faham erti sebenar kunjung-mengunjungi semasa berhari raya. Tujuan utama adalah untuk bermaaf-maafan dan mengerat silaturahim. Orang bagi duit raya, kita ambil. Jangan meminta-minta.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam malah harus hukumnya.
Katanya, ia bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim serta budaya kunjung-mengunjung.
Beliau turut mencadangkan beberapa garis panduan dalam pemberian duit raya iaitu:
Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya, bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Oleh yang demikian, pemberian duit raya sempena Aidilfitri ini bukanlah satu budaya yang tidak memberikan kebaikan, walaupun ada yang mengatakan bahawa pemberian duit raya ini mengajar anak menjadi materialistik.
Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak tidak salah untuk diteruskan sebagai kesinambungan amalan bersedekah yang dilakukan pada bulan Ramadan.
Pada masa yang sama, kanak-kanak perlu dididik agar tidak mengunjungi atau menziarahi rumah jiran tetangga semata-mata untuk mendapatkan duit raya.
Pada kesempatan ini juga saya mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua pembaca Sinar Harian. Jika pulang berhari raya di kampung, pandulah kenderaan dengan selamat dan patuhilah undang-undang jalan raya. Sinar Harian tidak ada di pasaran pada hari raya pertama dan kedua. Jumpa lagi pada hari raya ketiga.
Maaf zahir dan batin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!