Anak buta mata kanan angkara mercun bola
KUANTAN - Hati mana tidak tersentuh bila anak sulungnya berusia 10 tahun buta mata kanan selepas terkena serpihan mercun bola yang meletup di Tanjung Batu, Nenasi, kelmarin.
Bapa mangsa, Zulrisam Kadri, 43, berkata, dia tidak mahu mengikut perasaan sedih dan reda dengan ketentuan yang menimpa anak sulungnya, Muhammad Isyraf Firdaus Zulrisam, 10.
Dia mengaku masih terkejut dengan kejadian terbabit mahu terus memberi semangat kepada anak dan isteri untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.
“Memang sedih... dapat tahu pula mata kanan anak tak dapat diselamatkan lagi. Tapi saya kena kuat.. saya tahu anak perlukan semangat untuk pulih, begitu juga tekanan yang dialami isteri. Mereka berdua perlukan sokongan saya untuk hadapi ujian hebat ini,” ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.
Bapa kepada dua anak itu berkata, anaknya sudah selesai menjalani pembedahan kornea mata yang pecah.
Bagaimanapun, perasaannya terus tersentuh apabila Muhammad Isyraf Firdaus mengajukan pertanyaan sama ada dia masih boleh menyambut Aidilfitri atau sebaliknya.
Katanya, dia dan isteri Rohana Abdul Majid, 45, tidak memikirkan mengenai sambutan Aidilfitri buat masa ini kerana mahu anak mereka sembuh dan menjalani kehidupan harian seperti biasa.
“Doktor belum putuskan dia (Muhammad Isyraf Firdaus) perlu tinggal di hospital dalam tempoh berapa lama, buat masa sekarang saya yang menemani dia 24 jam di hospital dan uruskan segala keperluan dia,” katanya
Zulrisam berkata, pada hari kejadian anaknya bermain di padang bersama dengan rakan-rakannya.
“Ketika kejadian itu saya rasa macam tak sedap hati dan ambil keputusan untuk meronda di kawasan padang tersebut.
“Masa saya lalu di padang, saya tak nampak kelibat dia, saya ingat dia dah balik ke rumah jadi saya pun balik. Bila sampai rumah saya terkejut tengok ramai orang berkerumun di halaman rumah saya.
“Baru tahu anak saya cedera terkena letupan mercun bola dan segera membawanya ke klinik di Nenasi sebelum dihantar ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, Zulrisam berkata dia langsung tidak mengetahui anaknya bermain mercun bola memandangkan sebelum ini anaknya hanya bermain mercun jenis ‘mancis’ sahaja.
Jelasnya, sebelum itu, Muhammad Isyraf Firdaus ada meminta duit untuk membeli makanan, rupanya wang terbabit untuk membeli mercun.
“Dia beli mercun bola tu senyap-senyap sebab dia tahu saya tak akan bagi dia main mercun.
Dia berkata anaknya juga ada menyatakan kekesalan dan tidak mahu lagi bermain mercun selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!