Nasib 'Abang Botak'
DUA tiga hari lepas, kecoh di media sosial mengenai seorang pembantu stor yang dikenali sebagai ‘Abang Botak’ dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana perbuatannya memecahkan cermin sebuah kereta.
Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau keduanya. Punca kejadian ialah kerana pemandu kenderaan, Siew Chean Voon, 58, yang memandu Perodua Axia menghimpitnya bersama bersama seorang lagi pembonceng motosikal sebanyak dua kali.
Ketika video klip yang memaparkan dia sedang menghentak cermin kereta itu dengan topi keledar, ramai yang mengecamnya.
Ketika itu ada yang mencadangkan beliau dihukum berat dan macam-macam lagi. Tetapi apabila mahkamah sudah menjatuhkan hukuman, tiba-tiba warganet berubah menjadi kasihan.
Ramai pula yang bersimpati. Rata-rata menganggap hukuman yang diterimanya itu terlalu berat. Ramai mendakwa hukuman itu terlalu berat sehingga membandingkannya dengan beberapa kes lain.
Bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Ikut nafsu binasa. Bapa kepada dua anak itu terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara.
Kita percaya majistret telah menggunakan budi bicara kerana tertuduh telah awal-awal lagi mengaku bersalah.
Abang Botak sebenarnya mempunyai ruang untuk mempertahankan diri. Dia juga boleh mengambil seorang peguam tetapi dia memilih untuk menangis di hadapan majistret dan mengaku salah.
Kita perlu mengambil pengajaran atas kejadian itu yang sepatutnya dapat dielakkan sekiranya kita sabar dan bertimbang rasa di jalan raya. Tidak salah untuk bersimpati dengan nasib yang menimpa Abang Botak. Perlakuan samseng jalanan bukan suatu yang boleh dikompromi.
Tetapi tidak adil juga kalau kita nak bandingkan kes Abang Botak dengan kes-kes lain yang pernah berlaku sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!