Ramadan yang istimewa

A
A
A

MENGIKUT hadis; ‘Penghulu segala bulan adalah bulan Ramadan’. Bulan penuh kemuliaan ini menyempurnakan ibadat satu bulan umat Islam menunaikan Rukun Islam ketiga, menjadikan ketakwaan benteng diri dan umahnya. Berakhirnya Ramadan memulakan jelmaan Syawal dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan tanda kesyukuran.

Dalam masyarakat yang pelbagai etnik dan ras serta budaya, latar ini memberi keunikan ke atas sambutan bulan Syawal. Kepelbagaian gaya hidup dan kepercayaan memupuk semangat muhibah melalui perayaan dalam membina keutuhan perpaduan, integrasi, keharmonian, semangat kekitaan dan kepunyaan dalam kalangan anggota masyarakat.

Ia bermula seawal bazar Ramadan beroperasi dengan jualan aneka jenis juadah berbuka yang dibanjiri rakyat pelbagai kaum dan etnik. Mengunjungi bazar Ramadan menjadi satu budaya yang sebati dengan rakyat Malaysia. Ada hidangan yang hanya boleh dirasai kenikmatannya pada bulan Ramadan. Di bazar Tanjong Malim/Hulu Bernam, popianya sentiasa jadi tumpuan; sebagaimana kuih tepung pelita Paya Jaras – ‘Rasa Sebulan, Rindu Setahun’.

Di samping itu, sepanjang bulan puasa juga melihat bagaimana interaksi bergaul dan berjumpa dalam kalangan pelajar, rakan sepejabat, teman-teman rapat dan ahli keluarga mudah mengambil-tempat. Misalnya, ada pelajar Kelab Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjur bersama pensyarah dan rumah anak yatim.

Ziarah dan kunjung-mengunjungi menjadi sinonim dengan bulan Ramadan. Ia bukan sekadar menjamu bersama tetapi lebih dari itu seperti bergaul dan bergabung walau untuk sedikit masa; yang semakin luntur dalam pergelutan mencari ruang dan masa oleh masyarakat yang saban hari lebih seronok bersua di alam maya. Ia juga sering menjadi bulan beramal dalam kalangan masyarakat yang memapar sifat sebenar rakyat Malaysia yang sentiasa murah hati dalam memberi dan menerima dengan ikhlas dan jujur.

Masjid menjadi tumpuan dengan kerja amal dan gotong-royong dalam menginsafi keberkatan mengimarahkan bulan ini. Kuliah Ramadan, berbuka bersama, solat sunat tahajud, tarawih, tadarus al-Quran, moreh dan takbir raya mengindahkan bulan Ramadan dan Syawal. Masjid USM juga bersama. Bubur lambuk yang sinonim dengan masjid Kampung Baru juga menjadi ikutan di tempat lain; termasuk komuniti Surau Taman Hijau, Jalan Ketoyong.

Waktu sebegini digunakan untuk memastikan warisan turun-temurun tidak diketepikan dan menjadi ikutan kekeluargaan. Berjumpa saudara-mara mengukuhkan ikatan yang barangkali semakin terhakis dalam mengharungi jurang generasi ke generasi.

Apakah konsep ‘pulang ke kampung’ semakin hilang serinya? Atau, ia sekadar menjadi paparan bermusim bagi mereka yang sibuk dengan kehidupan seharian di bandar-bandar besar?

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, bandar menjadi lesu dan lengang apabila musim raya tiba kerana masing-masing masih mengekalkan tradisi untuk pulang walau sehari dan beraya dengan nilai warisan berzaman. Walau ia berubah, teras roh beraya di kampung masih dirasai.

Kemeriahan juga ketara di 10 malam terakhir – lailatul qadar yang menerangi kawasan luar bandar khususnya. Malam tujuh likur masih ada amalannya dengan menyalakan panjut, pelita, lampu moden dan lilin tradisi tiang seri warisan nenek-moyang kita.

Pengalaman saya bersama dengan masyarakat beragama Islam di Jalan Ketoyong barangkali dirahmati oleh alam yang sarat dengan naratif budaya termasuk hubungan bersama dalam kehidupan seharian dengan adanya perkongsian, apatah lagi surau dan kubur Islam juga berdekatan.

Setiap perlakuan harian dipelajari bersama dengan sahabat lain yang membolehkan ikatan sesama kami kekal sehingga ke hari ini.

Mariam masih berkunjung ke rumah selang beberapa hari bertanyakan khabar ibu; Hamidah kakaknya masih menghantar lemang dan rendang di malam terakhir Ramadan. Ali pasti singgah di rumah apabila pulang dari Kuala Lumpur. Naratifnya menyahut kehidupan dalam satu keluarga besar walau berlainan budaya.

Kubur dibersihkan dan dilawati sama ada sebelum atau pada hari raya selepas solat Aidilfitri.

Masjid dipenuhi dengan takbir dan marhaban raya. Di kampung, ia bermula selepas pengumuman tarikh hari raya dan setiap rumah disinggahi oleh mereka yang tinggal di tempat kami. Ia bersambung keesokan hari selepas solat raya dan rumah pasti ada makanan tradisi menjadi pilihan. Jika dahulu, mercun tidak ketinggalan dan tinggal di kampung tidak sah jika tiada buatan sendiri.

Ramadan istimewa kerana kita melihat permulaan dan penghujungnya. Wajah beraya adalah ikatan kemanusiaan dengan nilai sanjungan ramai. Faham, hormat dan terima merupakan tiga nilai induk dalam menzahirkan perpaduan dalam kerangka kesatuan.

Barangkali, fitrah beraya membolehkan amalan ziarah, kunjung dan hubungan bersemuka diteruskan dalam ledakan teknologi yang memberi kesan ke atas nilai insani. Berkorban, kompromi, ikhlas dan jujur berlatarkan nilai faham, hormat serta terima membolehkan penyatupaduan masyarakat Malaysia sejahtera, berukun dan bahagia; menzahirkan kemenangan dan syukur atas kurniaannya - Selamat Hari Raya Aidilfitri.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!