Piya kembali beraksi sertai Kelantan United
BEKAS kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Mohd Radzi kembali mewarnai arena bola sepak tempatan apabila menyertai Kelantan United, bagi mengharungi baki saingan Liga M3 musim ini.
Presiden Kelantan United Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penyertai pemain itu membuktikan seriusnya pihak pengurusan untuk merealisasikan impian layak ke saingan Liga Perdana musim depan.
"Saya percaya kehadiran tonggak berpengalaman terbabit akan menambah kekuatan, untuk Kelantan United dalam mengharungi saingan musim ini.
"Selain Bahdri, kami turut bawa masuk beberapa pemain yang sudah mempunyai pengalaman dengan saingan liga tempatan antaranya Mohd Nizab Ayub (Perak), Mohd Azrean Aziz (T-Team), Wan Mohamad Ridhwan Deraman (Kelantan) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan)," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata Kelantan United turut membawa masuk tonggak import dari Gambia, Alfusainey Gassamu untuk tampil lebih perkasa di bahagian serangan.
"Kehadiran enam tonggak itu bagi menggantikan mereka yang telah digugurkan iaitu Muhamad Azmi Hamzah, Muhamad Fadzlie Abdullah, Mohamad Faizol Fazree Ismail Mohamad Azri Azam, Mohamad Zailani Ramli dan Elano Carlos Zozimar.
" Meskipun digugurkan, Kelantan United tetap cakna kebajikan mereka dengan mencari pasukan baharu untuk pemain terbabit," katanya.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan United kini menghuni tangga ketiga dalam saingan Liga M3 dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan satu seri dan satu kalah.
Kelantan United kini hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu M3 Kuching FA. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!