'Sampai bila nak bersedih? Anak-anak kekuatan saya'

Zairihan Zainuddin, 43, tekun menyiapkan tempahan dari pelanggannya ketika ditemui di rumahnya di Flat PPR Taman Jasmin. - Foto Bernama
Zairihan Zainuddin, 43, tekun menyiapkan tempahan dari pelanggannya ketika ditemui di rumahnya di Flat PPR Taman Jasmin. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Ibu tunggal ini pernah kehilangan tempat bergantung apabila terpaksa berpindah selepas rumah yang didiami dilelong setahun yang lalu, namun itu tidak menjadikan dirinya lemah sebaliknya penguat semangat untuk mengubah nasib diri dan lima anaknya.

Zairihan Zainuddin, 43, berkata meskipun ujian yang datang pada ketika itu seakan bertimpa-timpa apabila kemudiannya terlibat kemalangan pada tahun yang sama, sehingga menyebabkan bahagian muka kanannya mengalami kerosakan saraf dan matanya menjadi kabur namun dia tetap cekalkan hati demi anak-anak.

“Masa itu saya sudah hampir mengalah namun demi masa depan anak-anak, saya gagahkan diri dan bangkit semula untuk memastikan anak-anak saya yang berusia 9 hingga 18 tahun mendapat kehidupan yang lebih baik.

“Rakan-rakan sering memberi kata-kata semangat dan dorongan untuk saya tidak hanyut dalam kesedihan. Sampai bila kita nak terus bersedih? Kekuatan anak-anak juga menjadi pembakar semangat untuk saya bangkit tanpa menoleh ke belakang lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat PPR Taman Jasmin.

Justeru Zairihan mengambil keputusan untuk menuntut ilmu menjahit bagi menjadikan ia sebagai sumber rezeki untuk menampung keperluan keluarga dan meneruskan kehidupan.

“Saya mula belajar dengan rakan-rakan yang pandai menjahit dan meminta mereka mengajar teknik-teknik menghasilkan pakaian yang lebih cantik dan berkualiti... Alhamdullilah, mereka sangat membantu dan mengajar saya secara percuma tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Tidak lama selepas itu, saya sudah boleh menjahit dan saya mampu untuk menghasilkan 10 hingga 15 pasang baju selama sebulan... permintaan lebih tinggi apabila menjelang musim perayaan in," kongsi Zairihan.

Menurut Zairihan pada musim perayaan ini, dia menerima tempahan antara 20 hingga 30 pasang baju dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada jiran, rakan-rakan termasuk doktor dan jururawat yang pernah merawatnya ketika beliau sakit dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Rezeki tidak pernah putus... sentiasa ada sahaja bantuan juga diberikan tanpa diduga,” katanya.

Katanya, dia kini mengorak langkah baharu dengan menghasilkan beg telekung buatan sendiri.

“Buat masa ini saya menghasilkan beg telekung buatan sendiri dan mula menjualnya secara dalam talian dan media sosial, ada juga kawan-kawan yang tolong jualkan beg ini. Satu beg telekung ini berharga RM40 dan kini saya menghasilkan 30 beg setiap bulan bagi menambah pendapatan," katanya.

Selain itu, Zairihan juga turut menjual produk kosmetik bagi menambah pendapatannya selain menjahit dan menghasilkan beg telekung buatan sendiri.

“Perancangan saya adalah untuk mengadakan ‘Mobile Spa’ iaitu membuat rawatan muka dari rumah ke rumah dalam masa terdekat ini. Ini merupakan hasil dorongan pelanggan yang membeli produk kosmetik yang memberi semangat dan mencadangkan saya untuk membuat Mobile Spa tersebut,” katanya.

Zairihan berkata, disebabkan hanya dia seorang sahaja yang menjadi tempat bergantung bagi anak-anaknya, dia perlu mencari jalan alternatif bagi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang mencukupi tanpa mengharapkan ihsan dan bantuan daripada orang lain.

“Sebagai seorang ibu tunggal saya kena kuat demi anak-anak dan menjadi benteng serta melindungi anak-anak ini untuk berjaya. Anak sulung saya kini berjaya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah dalam jurusan Perakaunan dan saya mahu anak-anak yang lain juga berjaya mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Zairihan juga melahirkan rasa terharu dan bersyukur apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun banyak membantu keluarganya ketika dia kehilangan tempat tinggal pada bulan Mei lepas.

“Alhamdullilah... saya berjaya menduduki rumah yang selesa ini dengan kos yang lebih murah pada bulan Disember lepas.

"Saya juga turut menerima inisiatif Care For You (C4U) Ibu Tunggal Negeri Sembilan 2019 yang diperkenalkan baru-baru ini dan ia banyak membantu saya dari segi menambah pendapatan harian keluarga,“ katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!