Dakwah jalanan buka mata bukan Islam
KUALA LUMPUR - Sejak kebelakangan ini, kaedah dakwah Muslim yang dipanggil dakwah jalanan telah membuka mata ramai rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam di negara ini.
Sejak menjadi sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslim (MRM) lima tahun lepas, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin melihat bagaimana aktiviti itu membolehkan mereka membantu orang bukan Islam lebih memahami Islam.
Pemuda berusia 28 tahun itu berkata, beliau menyedari ramai bukan Islam yang sebenarnya ingin mengetahui lebih banyak tentang Islam, manakala ada yang salah faham tentang Islam.
“Kami menerima banyak maklum balas daripada orang bukan Islam dan mereka menghargai usaha kami untuk mewujudkan platform di jalanan, membolehkan mereka bertanyakan kami apa sahaja mengenai Islam.
“Kadang-kadang, ada yang bertanya mengapa orang Islam melakukan perkara-perkara buruk (seperti keganasan), kami menunjukkan kepada mereka apa yang Islam benar-benar mengajar kami, dan ia membuka mata mereka,” katanya.
Muhammad Azim berkata, beliau berminat menjadi sukarelawan dalam dakwah jalanan kerana pendekatannya yang mesra terhadap orang bukan Islam.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan bekerja dalam industri penerbangan selama empat tahun, beliau memutuskan untuk berdakwah sepenuh masa dan kini berkhidmat sebagai penolong pengurus jabatan dakwah di MRM.
“Ketika saya menuntut, saya berpeluang terlibat dalam dakwah jalanan dan saya kagum dengan kaedahnya kerana saya boleh bercakap dan memahami fikiran orang bukan Islam, bukan hanya orang Islam sahaja.
“Sudah tentu terdapat cabaran apabila saya memutuskan untuk berdakwah, walaupun kerja ini tidak hebat seperti kerja lain di luar sana, saya percaya ini yang saya ingin lakukan dan ia tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim,” katanya.
Walaupun secara umumnya, dakwah jalanan itu menerima reaksi positif, Muhammad Azim berkata bukan semua orang yang menyenangi kaedah dakwah NGO itu.
Beliau berkata sebagai contoh, kumpulan itu dituduh memaksa orang untuk memeluk agama Islam dan perkara itu diperbesarkan sehingga membawa ke Parlimen.
“Reaksi positif dalam kalangan bukan Islam, tetapi ada juga orang tertentu yang menuduh kami macam-macam di media sosial, ada juga yang merosakkan harta kami. Bagaimanapun, ini mendorong kami untuk menjadi lebih kuat dan aktif di jalanan.
"Selepas lebih lima tahun mempraktikkan dakwah di jalanan Kuala Lumpur dan Selangor, MRM menyasarkan untuk meluaskannya ke negeri lain di negara ini,” katanya dan menambah peluasan itu akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pertubuhan Islam yang lain.
Muhammad Azim berkata, MRM akan menyediakan latihan kepada anggota pertubuhan berkaitan untuk menjalankan aktiviti tersebut dan setakat ini, ia telah bermula di Pulau Pinang, Perak, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor.
“Kami juga melakukan kerjasama untuk membuat komik dakwah kami sendiri serta mendirikan kiosk maklumat Islam di beberapa tempat seperti klinik, hotel, perpustakaan, muzium dan restoran agar sesiapa sahaja boleh mengambil risalah kami secara percuma,” katanya.
Sehingga Mei lepas, MRM mempunyai 16 pekerja dan 1,000 sukarelawan serta aktif menjalankan dakwah jalanan di Bukit Bintang, Subang Jaya, Ampang, Bangi, Damansara dan Puchong. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!