Golongan asnaf, fakir miskin terima sumbangan raya
YAN - Seramai 80 golongan asnaf dan fakir miskin menerima bantuan hari raya sempena program Kerana Sedekah Membawa Berkah 2019.
Pengarah program, Norsyuhadah Mohammad berkata, program yang memasuki tahun keempat itu mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi, syarikat swasta dan komuniti setempat.
Katanya, program itu disertai 30 orang ahli Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dari Pasukan Pengakap Kelana A Daerah Kulim Negeri Kedah.
"Bantuan yang disampaikan adalah berbentuk barangan keperluan asas," katanya.
Menurut Norsyuhadah, program itu memberi banyak pengalaman kerana dapat menyantuni golongan asnaf yang memerlukan dengan lebih dekat.
"Ini adalah sebuah program tahunan yang menjadi pilihan setiap kali menjelang bulan Ramadan.
"Sempena bulan yang mulia, penuh dengan keberkatan PPM Pasukan Kelana 'A' Daerah Kulim, Kedah mengambil kesempatan ini untuk membantu golongan fakir miskin dan orang golongan kurang upaya bagi mengurangkan masalah yang dihadapi," jelasnya.
Menurut Norsyuhadah, program sebegini juga bertujuan untuk membuka mata golongan yang kurang berkemampuan ini bahawa masih ada golongan yang prihatin atas keadaan nasib hidup mereka.
Turut serta dalam konvoi KSMB 4.0 Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kulim, Ismail Othman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!