Ketupat palas sejuk beku laris musim raya
ALOR SETAR - Pepatah Arab ada mengatakan, Man Jadda Wa Jadda iaitu sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya.
Pepatah ini sesuai sekali untuk menggambarkan kesungguhan sepasang suami isteri dari Kampung Belukar, Hutan Kampung di sini yang mengusahakan ketupat palas sejuk beku sehingga menerima 7,200 kilogram (kg) tempahan bagi Aidilfitri kali ini.
Mengimbau kembali saat mula menapak dalam dunia perniagaan ini, pengusaha Ketupat Hutan Kampung Che Non Ahmad, 49, berkata, dia dan suaminya Tarmizi Yaacob, 57, bermula dengan menjual ketupat secara kecil-kecilan di pasar malam pada tahun 1993.
"Ketika itu suami saya berhasrat untuk jual makanan di pasar malam tetapi kami nak cari makanan yang orang lain tak jual lagi.
"Dari situlah tercetusnya idea untuk jual ketupat dan serunding. Alhamdulillah sambutan sangat baik sebab tak ramai orang jual ketupat di luar musim perayaan ketika itu," katanya ketika ditemui di Kampung Belukar, Hutan Kampung di sini.
Tempah kontena simpan stok ketupat palas
Menurutnya, perubahan zaman dan permintaan pelanggan yang tinggal jauh dari luar Kedah menyebabkan dia tekad beralih kepada ketupat palas sejuk beku sejak 2013 yang lalu.
"Sejak mula menghasilkan produk sejuk beku ini, permintaan meningkat berkali-kali ganda. Sekarang ini saya perlu sediakan 120kg ketupat palas sehari berbanding sebelum ini 10kg sahaja.
"Situasi ini menyebabkan saya terpaksa menggunakan kontena untuk menyimpan stok ketupat palas ini.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan kalau dahulu saya terpaksa menumpang peti sejuk beku di kedai ais sebab tak ada tempat nak simpan semua ketupat ini," katanya
Empat jenis ketupat sejuk beku
Che Non berkata, terdapat empat jenis ketupat sejuk beku yang dihasilkan ketika ini seperti ketupat palas biasa, ketupat palas jagung, ketupat palas pulut hitam dan ketupat palas kacang.
"Semua jenis ketupat ini dijual dengan harga RM22 sekilogram dengan jumlah ketupat antara 20 hingga 25 biji mengikut saiz.
"Ketupat palas ini mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan dengan cara yang betul.
"Dan apabila hendak dihidangkan, pelanggan hanya perlu kukus sahaja ketupat ini, tak perlu rebus dah," katanya.
Che Non berkata, setiap kali musim perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha, dia terpaksa menambah bilangan pekerja untuk memastikan setiap tempahan pelanggan dapat disiapkan mengikut permintaan.
"Saya bersyukur di samping mencari rezeki untuk keluarga, dapat juga saya membantu penduduk di sini dengan mengupah mereka untuk membantu saya memasak pulut, menganyam ketupat, merebus jagung sehinggalah ke proses pembungkusan ketupat," katanya.
Selain menjual keempat-empat jenis ketupat itu, Che Non turut menjual serunding dan rendang daging sejuk beku untuk dilengkapkan dengan menu ketupat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!