Grafiti usir pelancong muncul di Granada

Antara tulisan pada dinding dan tembok sekitar daerah Albaicin di Granada yang menghalau pelancong.
Antara tulisan pada dinding dan tembok sekitar daerah Albaicin di Granada yang menghalau pelancong.
A
A
A

GRANADA - Kedatangan pelancong yang berhasrat untuk menghabiskan masa di salah satu destinasi percutian popular di Sepanyol tidak dialu-alukan oleh segelintir penduduk tempatan.

Bandar Granada yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1984 ekoran tinggalan sejarah berciri Medieval Moorish itu menerima kunjungan lebih 27,000 pelancong setiap hari.

Namun kini tembok dan dinding di sekitar daerah Albaicin, Granada dicemari grafiti yang tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong.

"Pelancong tolong pergi!', 'Flamenco bukan satu persembahan' dan 'Pelancong, Granada bukan sekeping poskad!' merupakan antara ayat yang diconteng di tembok sekitar daerah Albaicin.

Jurucakap pertubuhan kejiranan Bajo Albaicin berkata, jumlah pesanan yang berunsur menghalau, yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris itu semakin kerap muncul sejak beberapa minggu yang lalu.

Sektor pelancongan merupakan nadi penggerak utama ekonomi Granada namun penduduk mendakwa aktiviti pelancongan berlebihan merosakkan gaya hidup tempatan.

Sementara itu, pihak polis tempatan mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan sebuah pergerakan terancang namun setakat ini tiada sebarang laporan berhubung pelancong diusir atau dicederakan diterima.

Laporan mengatakan seorang suspek telah dikenal pasti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!