Misteri pembunuhan The Black Dahlia
PADA pagi 15 Januari 1947 di Los Angeles, mayat Elizabeth Short yang ketika itu berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan dipotong dua pada paras pinggang dan tiada setitik darah yang tinggal dalam tubuhnya.
Mesra dipanggil Beth dalam kalangan teman rapatnya, dunia kemudian mengenali wanita itu dengan nama The Black Dahlia.
Pembunuhan tragis Black Dahlia menjadi inspirasi untuk pelbagai buku, siri televisyen dan adaptasi filem, namun di sebalik kemasyurannya, misteri kes tersebut masih belum terungkai hingga ke hari ini.
Dilahirkan pada 29 Julai 1924 di Boston, Massachusetts, Beth merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik, ibu bapanya bernama Cleo dan Phoebe Short.
Ayahnya seorang ahli perniagaan berjaya sehinggalah kejatuhan pasaran saham pada tahun 1929 menyebabkannya mengalami kerugian.
Beth kemudian berpindah ke California bersama bapanya pada tahun 1942 namun ketika berusia 19 tahun dia melarikan diri ke Santa Barbara ekoran satu pertengkaran.
Pada 23 September 1943, Beth ditahan pihak berkuasa kerana kesalahan melibatkan alkohol dan gambar 'mugshot'nya ketika itu menjadi antara foto Black Dahlia yang paling ikonik.
Beth bertemu kekasih hatinya yang juga seorang pegawai Tentera Udara, Mejar Matthew Michael Gordon, Jr. di Florida pada tahun sama namun malangnya dua tahun kemudian pemuda tersebut menemui ajal dalam nahas kapal terbang.
Bercita-cita untuk menjadi bintang Hollywood, Beth banyak menghabiskan masa di Los Angeles dan San Diego sekitar penghujung tahun 1946.
Menampung hidup dengan bekerja sambilan di sebuah kedai ubat, Beth yang memiliki rambut hitam berkilat itu menjadi popular dalam kalangan pengunjung lelaki kedai tersebut dan diberi nama jolokan The Black Dahlia.
Mayat dipotong dua
Seorang penduduk tempatan, Betty Bersinger ditemani anak perempuannya berusia tiga tahun sedang bersiar-siar di Leimert Park, Los Angeles, pada pagi 15 Januari 1947 apabila mereka menemukan mayat Black Dahlia dalam keadaan separuh bogel dan tubuhnya dipotong dua pada paras pinggang. Tangan Beth diletakkan di atas dahi sementara kakinya terbuka luas, tiada setiitis darah yang tinggal dalam tubuh wanita itu, lebih menyayat hati ususnya dirobek keluar lalu diletakkan di bahagian bawah punggung.
Muka Beth dikelar dari bahagian mulut hingga ke telinga menampakkan seolah-olah mangsa sedang tersenyum jahat. Bahagian peha Beth yang mempunyai tatu berupa sekuntum bunga ros dilapah lalu disumbat ke dalam kemaluannya.
Namun mayat Beth telah dibersihkan oleh pembunuhnya dan ia menyukarkan usaha polis untuk menjejak si pelaku.
Penemuan mayat Beth menjadi berita sensasi dan wartawan pada ketika itu sanggup sanggup melakukan apa sahaja untuk mengorek rahsia siapa Black Dahlia sebenarnya.
Pelbagai teori dan persepsi
Pembunuhan tragis Black Dahlia menghiasi muka depan dada akhbar pada ketika itu dan kebanyakan cerita ditokok tambah untuk menjadikannya lebih sensasi.
Antaranya, Black Dahlia digambarkan sebagai seorang wanita cantik yang menggoda malah terdapat akhbar yang melabelnya sebagai pelacur sekali gus menjadikannya sasaran pembunuhan.
Pada 21 Januari 1947, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pembunuh Black Dahlia menghubungi editor akhbar Examiner dan memaklumkan akan menyerah diri.
Tiga hari kemudian, seorang pekerja Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (AS) menemukan bungkusan berisi barangan peribadi Beth termasuk surat kelahiran, kad keselamatan sosial, gambar dan buku alamat milik seorang lelaki bernama Mark Hansen. Hansen merupakan seorang pemilik kelab malam yang pernah dikaitkan sebagai suspek pembunuhan Black Dahlia.
Sementara itu, laporan kumpulan penyiasat asal kes terbabit turut menyebut kemungkinan Beth dibunuh kerana terlibat dengan ahli geng.
60 lelaki mengaku membunuh Black Dahlia
Ekoran pembunuhan kejam yang menimpa Black Dahlia, Jabatan Polis Los Angeles pada waktu itu telah menjalankan siasatan intensif dan lebih 150 suspek di kenal pasti namun tiada sebarang tangkapan dibuat.
Sementara itu, terdapat juga laporan mengatakan sekurang-kurangnya 60 orang lelaki mengaku membunuh wanita cantik itu. 70 tahun telah berlalu namun identiti pembunuh sebenar dalam kes yang dianggap antara paling kejam dalam sejarah Amerika Syarikat itu masih gagal dirungkai.
Pembunuhan Black Dahlia boleh disamakan dengan kes Cleveland Torso Murders pada sekitar tahun 1934 dan 1938 yang menyaksikan 12 mangsa dibunuh kejam dan mayat mereka dipenggal namun pembunuhnya masih kekal misteri.
Impian Black Dahlia untuk menjadi bintang terkenal tidak kesampaian namun pengakhiran hidupnya yang tragis membuatkan dirinya dikenali ramai dan rahsia tentang siapa pembunuh sebenarnya akan terus terkubur bersama waktu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!