Juadah tradisi pilihan Aidilfitri
RASANYA yang sedap dan berlemak menyebabkan hidangan burasak, lepat lueh dan lemang periuk kera menjadi juadah pilihan Aidilfitri.
Pengusaha burasak dan lepat lueh, Norzin Jaafar, 58, berkata, burasak kini menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang enak seperti ketupat dan lemang.
Menurutnya, dia bersama anaknya Nurul Azwana Nordin, 34, dan menantu, Siti Nur Esah Sirin, 26, telah memulakan kerja-kerja membuat makanan tradisional Bugis itu sejak awal Ramadan. Tempah atas talian
Dia yang sudah tujuh tahun berniaga burasak di Pekan Nanas memberitahu kaedah menempah makanan itu kini lebih mudah kerana ia boleh diperoleh secara atas talian.
“Burasak boleh disejukbekukan kerana ia tahan lama. Jadi burasak boleh dipasarkan dengan mudah menggunakan kaedah atas talian.
“Sebelum raya kali ini, tempahan burasak yang diterima secara atas talian sangat memberangsangkan.
“Jangan sangka burasak hanya di Johor saja, tetapi sebenarnya orang Perak dan Terengganu juga sudah kenal hidangan tradisi ini,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 1,000 bungkus burasak dan lepat lueh mampu dihasilkan dalam tempoh seminggu.
Menurut Norzin, hanya daun pisang nipah muda digunakan bagi membalut burasak.
Katanya, burasak seakan-akan ketupat nasi berbentuk seakan lepat pisang yang dimasak dengan santan dan dibalut dengan daun pisang muda.
Dia memberitahu, kerja-kerja membuat burasak tidaklah rumit namun memerlukan kesabaran dan kemahiran kerana perlu dimasak dalam tempoh yang agak lama.
“Sukatan beras dan santan perlu betul jika tidak burasak tak menjadi. Selepas santan dididihkan, beras akan dimasukkan dan dimasak.
“Ia kemudiannya akan dikacau sehingga sebati sebelum benar-benar tanak. Ketika masih panas, beras yang dimasak bersama santan akan diisi ke dalam daun pisang muda menggunakan kayu cetak khas,” katanya.
Katanya lagi, burasak akan dibungkus ke dalam daun pisang sekali lagi sebelum direbus selama 4 jam.
“Bagi lepat lueh, bahan utamanya adalah pulut. Pulut akan dimasak bersama santan dan kemudiannya akan diisi ke dalam daun pisang menggunakan cetak khas. Ia akan berbentuk segi tiga,” katanya.
Jelasnya meskipun harga santan naik saban tahun, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengurangkan sukatan santan ketika memasak burasak dan lepat leuh.
“Hidangan tradisi ini perlu punya kesinambungan, saya lihat semakin ramai pengusaha burasak dan lepat lueh di kawasan Pontian,” katanya.
400 biji terjual tahun lalu
Lemang periuk kera pula kini popular dan semakin mendapat permintaan terutama di musim lebaran ini.
Pengusaha Noryati Parman, 53, berkata, dia mula membuat lemang periuk kera sejak dua tahun lalu.
Katanya, periuk kera perlu ditempah awal dari Kuantan.
Jelasnya, proses memasak lemang periuk kera memerlukan ketelitian agar campuran santan dan pulut sebati dan menghasilkan rasa yang lemak.
“Periuk kera mudah pecah, jadi perlu hati-hati ketika dimasak. Ia juga perlu dicuci bersih sebelum dimasak,” katanya.
Jelasnya, lebih 400 biji lemang periuk kera terjual pada tahun lalu.
Bagi memudahkan pelanggan membawa pulang lemang periuk kera, juadah berkenaan telah disejukbekukan terlebih dahulu.
Noryati yang dibantu oleh anaknya Zafirah, 29, turut menjual hidangan menu tradisi lain seperti burasak, lepat lueh serta dan ayam pasu madu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!