Sambut Syawal dalam khemah

Muslihun berdiri di tepi tapak rumahnya yang musnah selepas gempa pertama melanda kampung itu, Julai lalu.
Muslihun berdiri di tepi tapak rumahnya yang musnah selepas gempa pertama melanda kampung itu, Julai lalu.
A
A
A

LOMBOK - Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba pastinya umat Islam sibuk membuat persiapan bagi meraikan kemenangan sebulan berpuasa.

Namun, berbeza bagi 200 keluarga di Kampung Dusun Dasan Baru di Lombok Timur, Loang Tuntel yang hanya dapat beraya di dalam khemah selepas kediaman mereka musnah akibat bencana gempa bumi pada Julai tahun lalu.

Selepas 10 bulan, hanya kanvas yang melindungi mereka daripada hujan dan panas.

Lebih malang lagi apabila mereka mendakwa tiada bantuan diterima sejak gempa pertama yang melanda kawasan itu.

Kawasan perkampungan yang agak terperosok jauh di pedalaman dengan laluan sempit dan tanah merah mungkin menjadi faktor bantuan tidak dapat sampai ke kampung itu.

Salah seorang penduduk, Muslihun Inun, 35, yang kehilangan rumah dalam bencana itu akui kehidupan mereka sekeluarga sukar malah kanvas yang dijadikan dinding dan atap khemah juga sudah semakin uzur.

"Sudah tidak ada rumah yang layak diduduki di kampung ini kerana semua retak atau roboh. Sejak gempa pertama Julai tahun lalu kami semua hanya tinggal di dalam khemah. Susah tinggal di dalam khemah ini kerana waktu tengah hari panas terpaksa cari pokok berteduh manakala kalau hujan pula bocor.

"Untuk Aidilfitri pertama di khemah ini memang sedih kerana sudah tidak ada rumah. Kami berbuka puasa pun di luar di tapak rumah lama," katanya yang tinggal bersama suami, bapa dan dua anaknya.

Artikel Berkaitan:

Muslihun yang bekerja sebagai buruh membuat batu bata berkata, ketika kejadian dia seorang diri di rumah dan baru selesai menunaikan solat Isyak.

"Waktu itu malam Isnin, selepas solat Isyak saya di dalam rumah dan tiba-tiba semua bergegar jadi saya lari tinggalkan rumah menuju ke jalan. Saya lihat ramai yang sudah bertempiaran lari keluar rumah juga.

"Kami akhirnya bina khemah untuk berteduh di tanah lapang tiada siapa yang berani balik ke rumah. Apabila pulang saya lihat rumah sudah roboh," katanya yang membina khemah di atas tapak rumah lamanya.

Kumpul duit, berhenti kerja di AS bantu orang kampung

Seorang pemuda di kampung ini, Fathir Azani Sahabudin, 29, yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berhenti kerja demi membantu orang kampungnya selepas menerima perkhabaran kampung tersebut terjejas teruk akibat gempa bumi.

Katanya, dia langsung buat keputusan untuk kumpul dana dengan sahabat-sahabat di sana termasuk menyisihkan gaji saya setiap bulan untuk dibawa pulang.

"Apabila saya sampai di sini saya terkejut melihat mereka hidup dalam khemah. Di dalam khemah itulah mereka makan, memasak dan tidur.

"Tidak ada langsung bantuan mereka terima, jauh sekali rumah sementara. Jadi wang yang saya kumpulkan itu saya gunakan untuk bantu 200 keluarga di sini kembali bina hidup," katanya yang merupakan graduan Ijazah Sastera Inggeris dari Universiti Canberra di Australia.

Katanya, selepas bencana ekonomi di kawasan itu lumpuh dan kadar jenayah meningkat kerana masing-masing terdesak untuk meneruskan hidup.

"Psikologi mereka terganggu, jenayah meningkat jadi saya ambil inisiatif buat kelas agama sebagai pengubat jiwa mereka. Trauma itu pasti ada malah sampai sekarang tak ada yang berani tidur di dalam rumah.

"Alhamdulillah setelah beberapa ketika mereka sudah mula menerima hakikat. Apabila ada rezeki, semuanya dikongsi walau sedikit kerana mereka tahu apa yang mereka rasa turut dirasai orang lain di sini," katanya.

Perlukan 200 rumah sementara

Pelaksana Pusat Keadilan Peduli Umat Indonesia (Human Initiative Indonesia), Dedy Aris Sandi berkata, perkampungan itu belum menerima sebarang bantuan daripada kerajaan sejak dilanda bencana pada Julai tahun lalu.

"Di Luang Tuntel ini kita perlukan 200 buah rumah sementara sebagai perlindungan kepada mangsa gempa bumi yang masih tinggal di khemah.

"Buat permulaan ini kita akan usahakan 50 unit rumah pertama untuk dibina di sini selepas Aidilfitri bagi meringankan beban mereka. Kampung ini sekitar 30 kilometer dari kawasan bandar agak jauh dengan keadaan jalan kampung," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar pula berkata, rumah senyum itu diperlukan penduduk di situ sementara menanti bantuan perumahan daripada kerajaan Indonesia.

"Daripada 200 rumah itu sekitar 80 rumah memang rosak teruk sama ada roboh, tak selamat diduduki atau ada keretakan besar. Jadi perancangan kita untuk bina rumah sementara ini sama ada di tapak rumah mereka atau di kawasan tanah lapang.

"Rumah senyum ini biasanya hanya bertahan sehingga setahun setengah dengan harapan untuk sementara itu mereka mendapat rumah daripada kerajaan. Kita akan usahakan tahun ini juga," katanya.

Beliau berkata, banyak tempat sudah dilawatinya namun belum pernah melihat kampung yang tidak mempunyai kemudahan jalan tar.

"Kampung ini yang pertama saya lihat, terkejut ketika mula-mula sampai di sini.

"Kawasan ini terperosok jauh di pedalaman jadi jentera berat memang tak boleh masuk kerana laluannya kecil," katanya.

Mahu lancar tabung bina rumah senyum

Pegawai Operasi Econsave, Mas Imran Adam mengesahkan pihaknya akan melancarkan kembali tabung mangsa gempa Lombok bagi menyediakan 50 unit kediaman sementara pertama dikenali sebagai rumah senyum.

"Selepas ini kita akan lancarkan satu lagi tabung untuk rumah senyum Lombok kerana kalau kita lihat setelah hampir setahun bencana itu tapi mereka masih tinggal dalam khemah.

"Kita sudah buat tinjauan dan hantar 200 bungkus makanan ke sana baru-baru ini. Memang betul mereka masih tinggal dalam khemah dan perlukan rumah senyum. Jadi untuk permulaan kita akan cuba dapatkan dana untuk bina 50 buah rumah senyum itu dulu," katanya.

Katanya, sebuah rumah sementara berharga sekitar RM1,000 dan sebanyak RM50,000 diperlukan bagi tujuan menyediakan kemudahan berkenaan.

Info Gempa Lombok Julai 2018

- Berlaku pada 29 Julai 2018 jam 6.47 pagi waktu Indonesia Timur.

- Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) gempa bumi berukuran 6.4 skala Ritcher itu berpusat di 1.4 kilomter barat daya Lelongken, Indonesia.

- Gegaran kuat itu menyebabkan kira-kira 10,062 buah rosak dan tidak dapat didiami di pulau berkenaan.

- Data Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) menjelaskan, kira-kira 20 maut manakala 401 yang lain cedera.

- Kejadian tersebut turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Lesmawida Ismail, 30, yang selesai menamatkan misi pendakian ke Gunung Rinjani. Dia ditemukan tertimpa runtuhan di dalam penginapannya di Lombok Timur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!