SPRM bebas siasat GLC di Johor - MB

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua, kanan) dan isteri Datin Dr Nila Armila Mukhdan (kanan) disantuni oleh tetamu dari kaum India yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor (MBJ) di kediaman rasmi MBJ Saujana hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua, kanan) dan isteri Datin Dr Nila Armila Mukhdan (kanan) disantuni oleh tetamu dari kaum India yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor (MBJ) di kediaman rasmi MBJ Saujana hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri memberi kebebasan seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) untuk menyiasat mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang terlibat dengan salah laku.

Tidak cukup dengan itu, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal juga berkata pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya diperlukan.

“Kita akan memberikan kerjasama dan kebebasan seluas-luasnya untuk SPRM menyiasat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka di kediaman rasminya, Saujana, di sini, hari ini.

Beliau ditanya apakah pihaknya akan memberi laluan atau kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat mana-mana GLC memandangkan terdapat GLC di negeri ini dilaporkan sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan.

Berhubung isu lain, Dr Sahruddin berkata pihaknya akan membuat keputusan berhubung bayaran pampasan ke atas tanah Orang Asli Seletar di Stulang Laut dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Keputusan akan dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Saya telah maklum isu itu dan mungkin seminggu atau dua minggu lagi, akan ada mesyuarat kerajaan negeri untuk kita pertimbang dan mencari penyelesaian lebih baik.

Apa pun hasilnya nanti, kita akan beritahu kepada masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin lepas, seramai 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang memfailkan permohonan semakan kehakiman mandamus di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi menyelesaikan isu pampasan tanah mereka di Stulang Laut, yang masih tertangguh sejak sembilan tahun lepas.

Kesemua mereka yang dipindahkan dari perkampungan asal di Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai itu diwakili peguam Tan Poh Lai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!