28,286 PATI ditahan sejak 1 Januari
SEPANG - Seramai 23,286 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menerusi operasi di seluruh negara sejak 1 Januari hingga Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, warga Indonesia paling ramai ditahan iaitu 8,006 orang daripada hasil pemeriksaan terhadap 98,442 individu.
Menurutnya, jumlah tersebut diikuti warga Bangladesh seramai 5,272 orang.
"Diikuti warga Myanmar seramai 2,327 orang, Filipina (2,022), Thailand (1,272), India (1,229), Vietnam (794), Pakistan (775) dan selebihnya lain-lain negara.
"Tangkapan ini adalah susulan 7,898 operasi dilaksanakan Imigresen dalam usaha membanteras lambakan PATI,” katanya kepada Sinar Harian.
Khairul Dzaimee berkata, selain itu, seramai 605 majikan turut ditahan kerana dipercayai menggaji dan melindungi PATI.
Katanya, antara kesalahan utama yang dikesan dilakukan PATI adalah tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak memiliki pasport dan sebagainya.
Terdahulu, Khairul Dzaimee meluangkan masa hadir meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga kerja Imigresen yang bertugas di pagi raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!