JDT lamar Akhyar, Kedah enggan mengalah
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyemak kembali kes pemainnya, Akhyar Rashid selepas tidak berpuas hati dengan keputusan sebelum ini.
Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, keputusan pengadu iaitu, Akhyar menebus kontrak bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak RM210,000 dan tambahan RM75,000 untuk pampasan latihan perlu dinilai semula.
"Kami akan lihat perkara ini dari satu tahap ke tahap lain dan akan bermula dengan merayu terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.
"Rayuan ini agar FAM melihat kembali kes ini dan lihat apa jawapan FAM. Surat rayuan akan dikeluarkan esok," katanya dihubungi Sukan Sinar petang tadi.
Sebelum itu, Lang Merah bagaikan mengulangi pendirian meminta mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan Akhyar untuk berjumpa dengan badan induk bola sepak Kedah itu.
Kenyataan itu dikeluarkan KFA di laman Facebook rasmi mereka susulan kenyataan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengesahkan mereka sedang berunding dengan pemain berusia 19 tahun itu selepas menjadi pemain bebas dua minggu lalu.
Terdahulu, Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua pihak perlu bersikap profesional dan menggunakan jalan yang betul kerana penyerang muda itu masih berbaki kontrak selama setahun sehingga musim 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!