Kesal pengguna jalan CSR buang sampah
LIPIS - Sikap buruk pengguna jalan raya yang membuang sampah di tepi jalan CSR Padang Tengku ke Gua Musang termasuk di persimpangan jalan CSR di Ladang Selborne di sini menimbulkan rasa tidak puas hari masyarakat setempat.
Perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan kawasan sekitar malah memburukkan pandangan dengan sampah sarap yang bertaburan.
Masalah itu didakwa disumbang pengguna jalan raya yang berhenti sama ada untuk berbuka puasa atau berehat ketika dalam perjalanan pulang cuti hari raya terutama ke Kelantan.
Situasi itu turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin setempat.
Yang Dipertua Pas Lipis, Roslan Zainal berkata, sikap itu perlu segera diubah sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan kebersihan.
Menurutnya, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku walau dalam apa situasi sekalipun kerana sikap itu mencerminkan capaian takwa seseorang yang digilap sepanjang Ramadan lalu.
"Masalah ini turut berlaku semasa cuti Aidilfitri tahun lalu dan agak dikesalkan ia terus berulang lagi kali ini.
"Pas Lipis kesal dengan permasalahan ini kerana ia turut menjejaskan keselesaan maayarakat setempat yang saban tahun terpaksa berdepan masalah sampah di tepi jalan yang ditinggalkan pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab,"katanya.
Roslan berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan ahli untuk membersihkan kawasan terlibat supaya masalah sampah yang bertaburan di laluan berkenaan dapat diselesaikan.
"Pas Lipis menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan yang berusaha menangani masalah berkaitan dan diharapkan agar pembinaan hentian rehat dan rawat (RnR) dapat segera dibina untuk kemudahan pengguna laluan tersebut.
"Keperluan kepada hentian rehat dan rawat di laluan itu pernah disentuh sebelum ini namun sehingga kini pembinaan kemudahan itu nampaknya masih belum nampak bayangnya,"katanya.
Beliau berkata, ketiadaan RnR di laluan itu menyebabkan pengguna jalan terpaksa berhenti rehat di simpang masuk utama ke lebuh raya tersebut di Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku.
"Keadaan itu bukan sahaja berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain malah menimbulkan masalah kebersihan apabila mereka membuang atau meninggalkan sampah sesuka hati sehingga mencemarkan pemandangan dan kebersihan.
"Pas Lipis menggesa pihak berwajib segera menyediakan kemudahan itu bukan sahaja untuk kemudahan rehat dan rawat malah untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai berhenti solat dan sebagainya,"katanya.
Roslan berkata, setidak-tidaknya segerakan pembinaan hentian sementara yang dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, surau, kedai makan dan seumpamanya untuk kemudahan pengguna dan mengelak masalah sampah ini berterusan setiap kali musim perayaan.
Masalah itu turut mendapat perhatian ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long apabila beliau turut kesal dengan sikap pengguna jalan raya yang membuang sampah merata-rata di laluan itu.
Melalui Facebooknya, Mustapa menyifatkan sikap pengguna itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak berdisplin dan tiada kesedaran sivik langsung.
"Tak tahu nak cakap macam mana lagi, tiada disiplin dan tiada kesedaran sivik langsung. Saya amat yakin anak-anak buah saya warga Padang Tengku tidak akan menjadikan ini sebagai tapak pembuangan sampah mereka kerana jika ianya dibuat orang tempatan pasti akan berlaku tanpa mengira musim.
"Makanya dari kenderaan manakah sampah ini datang? Puas memikirkannya, namun saya yakin setiap daropada kita tak mahu sikap buruk ini dikaitkan dengan negeri dan wilayah kan????"katanya seperti yang dimuatnaik dalam Facebooknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!