13 pemilik akaun bank dikehendaki bantu siasatan kes tipu
KUANTAN - Seramai 13 individu termasuk empat wanita dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes tipu penyelia sebuah syarikat perladangan sehingga mangsa rugi hampir RM80,000 selepas diperdaya dengan tawaran iklan pinjaman wang tidak wujud melalui Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, semua suspek merupakan pemilik akaun bank yang digunakan sindiket tersebut untuk menerima pembayaran dibuat mangsa.
Menurutnya, mangsa berusia 31 tahun tertarik dengan tawaran pinjaman wang 'berlesen' yang diiklankan melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu pada 19 April lalu.
"Mangsa berminat meminjam RM500,000 untuk modal pusingan perniagaan jual beli kelapa sawit lalu mengisi borang pinjaman yang disertakan secara atas talian.
"Pada 21 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman wang itu bagi urusan selanjutnya termasuk melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk proses kelulusan,"katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas dokumen berkaitan dilengkapkan, mangsa dimaklumkan pinjamannya diluluskan.
"Seperti biasa, suspek meminta mangsa membayar sejumlah wang sebagai bayaran proses sebelum wang tersebut dikreditkan ke dalam akaunnya.
"Tanpa menyedari dia sedang ditipu, mangsa membuat 13 transaksi pembayaran melalui 13 akaun bank berasingan membabitkan jumlah keseluruhan RM79,636," katanya.
Katanya, mangsa mula curiga apabila pembayaran wang proses itu agak tinggi dan wang pinjaman wang dibuat tidak dimasukkan ke akannya seperti yang dijanjikan lalu membuat laporan polis 4 Jun lalu.
"Kes ini dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pinjaman wang yang diiklankan melalui laman sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata, orang ramai disaran supaya membuat pinjaman melalui institusi kewangan atau bank yang sah jika berhasrat berbuat demikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!