Tekanan kerja punca golongan bijak pandai menagih dadah
KUALA LUMPUR - Sukar untuk dipercayai seorang doktor perubatan boleh tewas dan terjerumus ke lembah penagihan dadah untuk tempoh yang lama, semuanya bermula dengan sekadar mencari cara untuk meredakan tekanan kerja.
Ia bermula sembilan tahun lepas apabila Dr Sasitharan Ayanai, 39, lulusan perubatan dari Rusia, menjalani latihan amali ‘housemanship’ di sebuah hospital kerajaan di Johor Bahru, Johor.
Syif kerja yang panjang, adakala sehingga 48 jam tanpa rehat, membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu nekad mencuba dadah jenis syabu bagi memberikannya tenaga dan menghilangkan penat.
“Ketika itu saya stres dan pada masa sama saya terdedah dengan syabu...ia menjadi ‘booster’ (penggalak) untuk saya ketika perlu bekerja untuk jangka waktu panjang...saya hanya mahukan tenaga, itu sahaja.
“Pada fikiran saya ketika itu saya tidak mungkin akan ketagih...saya ingatkan sebagai doktor saya boleh kawal diri tetapi saya silap kerana secara perlahan-lahan saya menjadi penagih tegar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini.
Beliau yang kini merupakan ‘house doctor’ di pusat rawatan itu berkata pada pertengahan 2016 iaitu kira-kira enam tahun selepas terjebak dengan najis dadah, beliau secara rela hati mendaftar diri ke Rumah Pengasih kerana menyedari dirinya sudah terpesong jauh dan mahu memperbaiki kesilapannya.
“Namun pada 2017 saya meninggalkan Pengasih kerana bapa sakit dan apabila keluar, sukar untuk saya menyesuaikan diri dan akhirnya selepas enam bulan saya ‘relapsed’, kembali menagih dadah...ditambah tertekan dengan hinaan daripada saudara-mara.
“Sejak dua bulan lalu saya kembali ke sini kerana sedar saya memerlukan pertolongan dan sistem sokongan...saya masih menjalani rawatan dan pemerhatian rumah Pengasih bagi memastikan kali ini saya tidak akan kecundang lagi,” katanya dan menambah syabu membuatkannya panas baran dan hidupnya menjadi kucar-kacir hinggakan beliau membatalkan perkahwinannya 20 hari sebelum majlis berlangsung.
Dalam pada itu, Presiden Pengasih Ramli Abd Samad berkata tanggapan bahawa pengguna dadah terdiri daripada mereka yang keciciran sekolah dan bermasalah sosial semata-mata adalah silap kerana ramai penagih kini daripada golongan bijak pandai dan profesional.
“Dahulu dadah digunakan untuk rekreasi, untuk ‘enjoy’ dan khayal seperti di kelab malam, tetapi kini ramai menggunakannya untuk tujuan kerja, untuk keyakinan ketika menyampaikan pembentangan...ini kerana dadah moden kini memberikan konsentrasi dan juga tenaga,” katanya.
Katanya, iklan dan kempen antidadah yang berkonsep ‘konon-konon’ menakut-nakutkan orang ramai juga tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman kerana tidak mempamerkan realiti penagihan dadah pada zaman sekarang.
“Iklan di televisyen misalnya membosankan, tidak menarik hati untuk ditonton dan jalan cerita juga tidak ‘real’...ia tidak berkesan untuk beri kesedaran kerana hakikatnya ia tidak menimbulkan rasa takut.
“Kempen perlu mengikut peredaran zaman...kini seseorang tidak perlu menyuntik dirinya untuk menagih dadah...kempen perlu ‘up to date’ dan beritahu kebenaran tentang dadah,” katanya.
Ramli berkata Malaysia juga tidak mempunyai sebarang talian bantuan khas bagi memberi khidmat sokongan dan nasihat kepada mereka yang cuba mencari jalan keluar daripada penagihan.
“Tidak seperti masalah atau isu lain yang mempunyai ‘dedicated helpline’, misalnya masalah kemurungan dan penderaan...penagih dadah pula tidak mempunyai sistem sokongan seperti itu...mereka yang mahu berubah terkial-kial kerana tidak punya sistem sokongan yang kuat daripada keluarga dan masyarakat, malahan tiada siapa mahu membantu mereka.
“Keadaan semakin meruncing dan pengguna dadah sekarang semakin berbahaya dan ganas... kelompongan sistem sokongan di negara ini terhadap penagih dadah adalah sesuatu yang perlu dilihat secara serius sekiranya kita mahu memerangi najis dadah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!