Bersyukur dengan keharmonian dikecapi

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat diminta menyemai rasa syukur dengan keharmonian dikecapi selama ini dan memperkasakan ikatan persaudaraan dengan penuh kasih sayang dalam suasana yang muhibah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejajar dengan semangat perayaan ini, Kerajaan Pulau Pinang berharap negeri ini akan terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum.

Menurutnya pihaknya amat komited ke arah melahirkan masyarakat harmoni berteraskan semangat Malaysia Baharu yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi.

"Kita sungguh bertuah kerana negeri ini terus mampu mengekalkan keharmonian agama dan perpaduan yang telah terbina kukuh sejak sekian lama.

"Tidak dinafikan dalam masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, sudah tentu wujud perbalahan dan perbezaan pendapat. Bagaimanapun, perbezaan ini masih dapat dikendalikan secara rasional dan tidak pernah menjadi benteng pemisah antara kita semua," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri semalam.

Beliau turut mengharapkan Syawal merupakan titik permulaan untuk meneruskan amalan baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadan lalu.

"Saya berharap, bermula bulan mulia ini dan bulan-bulan yang akan datang menjadi medan terbaik untuk kita semua meneruskan segala amalan baik yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan lalu. Saya percaya bahawa setiap individu di negeri ini memiliki tanggungjawab serta peranan yang tersendiri dalam mewujudkan sebuah negeri yang harmoni.

"Kerajaan negeri sendiri akan terus menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama melalui program-program kebajikan yang telah dimulakan sejak 2008. Semoga semua bantuan tersebut dapat meringankan beban dan membantu rakyat mengharungi detik-detik sukar dalam kehidupan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, fokus kerajaan negeri untuk memastikan 1.77 rakyat Pulau Pinang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Oleh itu, tata kelola dan pentadbiran berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) akan terus dimantapkan seiring dengan Visi Penang 2030.

"Melangkaui 11 tahun menerajui tampuk pemerintahan, Pulau Pinang telah mempunyai teras yang stabil serta rekod yang boleh dibanggakan antaranya dalam aspek pelaburan, pelancongan dan penyediaan infrastruktur.

"Kerajaan negeri akan terus bekerja keras untuk memastikan iklim pelaburan negeri ini kekal unggul dan berkembang pesat. Di kesempatan ini, saya seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dengan penuh kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!