Tindakan Perkeso perangi orang ketiga langkah tepat
PUTRAJAYA - Langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memerangi penglibatan orang tengah atau orang ketiga bagi menguruskan tuntutan pencarum adalah selaras dengan aspirasi badan itu untuk membantu golongan yang betul-betul memerlukan.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A. Balasubramaniam berkata penglibatan orang tengah yang menjadi lintah darat akan hanya mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kesusahan pencarum.
"Perkeso sememangnya mempunyai sumber tenaga dan kakitangan yang berdedikasi dan ia sudah memadai bagi mengendalikan urusan-urusan tuntutan.
"Malahan pejabat Perkeso sememangnya ada di bandar-bandar utama dan pegawainya boleh melakukan lawatan ke kawasan kampung sekiranya ia melibatkan kawasan luar bandar bagi mengesahkan kes-kes yang dianggap tulen," katanya kepada Bernama.
Balasubramaniam mengulas satu laporan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohamad Azman Aziz Mohammed sebagai berkata Perkeso akan memperkenalkan sistem dalam talian menjelang penghujung 2019 sebagai usaha untuk mengekang sindiket dan pihak ketiga yang membuat tuntutan palsu bagi pihak pencarum.
Mohamad Azman berharap sistem dalam talian untuk tuntutan itu akan menghalang campur tangan daripada pihak ketiga.
Dalam pada itu, Balasubramaniam berkata sistem dalam talian yang dicadangkan itu perlu diperkenalkan dan diamalkan segera bagi manfaat dan kebaikan pencarum.
"Perkeso juga perlu memudahkan kaedah tuntutan pencarum yang mempunyai dokumen-dokumen yang berkaitan dan disahkan oleh doktor yang bertauliah," katanya.
Beliau turut menggesa Perkeso mengekalkan pendaftaran persendirian (ke pejabat) di samping pendaftaran menerusi laman web bagi manfaat pekerja sebab bukan semua yang mengetahui cara penggunaan Internet dan sebagainya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!