Khaled dakwa PKR kurang perhalusi impak Iftar di kuil

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua Pemimpin PKR Johor diseru untuk meneliti kembali pandangan masing-masing berhubung isu majlis berbuka puasa di kuil Gurdwara Sahib, di sini, baru-baru ini, demikian menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, merujuk kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Hassan Karim, kedua-dua pemimpin terbabit perlu mendapatkan pandangan para mufti.

"Dalam keghairahan dan kreativiti politik untuk membudayakan muhibah antara agama, pemimpin PKR seperti Akmal Nasir dan Hassan Karim harus berhati-hati agar tidak sampai dilihat mengajak orang Islam untuk membiasakan diri dengan amalan yang tidak pernah menjadi amalan dan anutan dalam menyempurnakan ibadah Islam.

"Pada saya, ini adalah perkara yang kurang diperhalusi dalam keseluruhan episod majlis berbuka puasa di kuil Sikh, Gurdwara Sahib baru-baru ini," katanya di sini.

Mohamed Khaled berkata, pemimpin PKR terbabit tidak seharusnya mengenepikan tuntutan agama khususnya pada bulan Ramadan yang menyeru kepada pengimarahan masjid.

Katanya, meraikan berbuka puasa di rumah ibadat agama lain yang berlaku di Johor Bahru, tidak langsung mencapai semangat muhibah, sebaliknya menjadi fitnah dan menyinggung nurani umat Islam yang rata-ratanya konservatif.

Selain itu, Mohamed Khaled turut mengakui benar titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bahawa mencampur adukkan amalan dan tradisi agama Islam dengan sambutan meraikan semangat muhibah di rumah ibadat agama lain adalah suatu yang janggal dan menjurus kepada fitnah.

ARTIKEL BERKAITAN: Akmal tetap hadir berbuka puasa bersama komuniti Sikh

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Isu iftar di kuil: Saya sudah buat rujukan, kata Akmal

Majlis Iftar Muhibbah bersama Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 28 Mei lalu, mendapat reaksi pelbagai pihak termasuklah Sultan Johor yang mengeluarkan titah berhubung perkara itu.

Akmal Nasir sebelum itu mengakui menerima pelbagai pandangan mengenai program iftar tersebut, tetapi tetap memenuhi jemputan tersebut dan mempertahankan tindakannya.

Selain itu, Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim juga dilaporkan mempertahankan Akmal meskipun menyatakan rasa hormat terhadap titah Sultan Johor mengenai perkara itu.

Terdahulu, Jawatankuasa Gurdwara Sahib Johor Bahru menegaskan pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai penganjuran majlis tersebut, malah memberitahu ia dirancang oleh salah seorang ahli biasa kuil Sikh itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!