Panglima Tentera Darat rai Syawal di perbatasan bersama anggota
GERIK - Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi meraikan sambutan Aidilfitri bersama Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) di Kem Sri Banding, semalam.
Lawatan itu bagi meninjau tahap kesiagaan anggota selain menyuntik semangat agar dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Ahmad Hasbullah ketika berucap turut mengingatkan warga tentera darat untuk sentiasa berwaspada.
"Jangan sekali-kali leka dan cuai dalam memikul tugas menjaga keselamatan sempadan negara," katanya.
Beliau juga membuat sidang video laporan keadaan kesiagaan anggota bersama Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Panglima Medan Timur Tentera Darat di Sarawak.
Ahmad Habullah turut berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri serta jamuan raya. Majlis diserikan dengan penyerahan sumbangan hari raya kepada anggota bertugas.
Beliau turut melancarkan buku Dari Meja Panglima Tentera Darat jilid ketiga. Siri itu merupakan medium nasihat daripada seorang ayah kepada anak untuk menjadi seorang warga tentera darat yang profesional dan sentiasa meletakkan keimanan dalam setiap pekerjaan.
Ahmad Hasbullah meneruskan lawatan ke Kem Gubir, Kedah, yang menempatkan Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!