Kos tinggi paksa warga asing raya di perantauan
KUALA LUMPUR - Tatkala warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri, ada dalam kalangan pekerja asing beragama Islam tidak berpeluang berbuat demikian.
Hal ini kerana selain tiket penerbangan mahal untuk pulang ke negara asal mereka, mereka terpaksa mengorbankan masa untuk bersama keluarga untuk mencari rezeki bagi menampung kos sara hidup tinggi di tengah-tengah ibu kota.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka dipaksa menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada majikan sebelum diberi cuti hari raya dan jika tidak gaji mereka akan dipotong.
Seorang pekerja restoran kedai mamak yang hanya mahu dikenali sebagai Shahbudeen, 34, berkata, tahun ini merupakan tahun kedua dia beraya di tempat kerja kerana mahu mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan pulang ke India.
"Hari Raya pun tetap kena kerja, lepas solat raya di Masjid India terus saya datang kerja kerana dapat 'double pay’,” kalau dah cukup duit baru boleh beli tiket balik (negara asal).
"Saya pun ada isteri dan seorang anak di sana (India), selagi tak cukup duit untuk mereka saya tak boleh balik," katanya ketika ditemui Bernama.
Warga Indonesia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Yasral Anddal, 28, berkata, kos balik kampung yang mahal memaksanya untuk membatalkan hasrat pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
"Tahun ini merupakan tahun pertama tidak pulang berhari raya kerana cuti yang diberi hanyalah dua hari dan tiket pun mahal.... saya dan isteri hanya berkesempatan menunaikan solat raya dan makan juadah raya di masjid pada Raya pertama.
"Walaupun tidak pulang ke kampung, suasana Aidilfitri di sini sebenarnya sangat meriah kerana banyak rumah terbuka terutamanya di masjid-masjid dan kami dijamu dengan makanan yang sedap, tidak perlulah kami berbelanja lebih untuk masak pada Hari Raya," katanya.
Buruh pembinaan Naw Myitsu, 30, dari Myanmar pula berkata, dokumen pengenalan dirinya terpaksa diserahkan kepada majikan kerana dikhuatiri dipotong gaji sekiranya tidak berbuat demikian.
"Kami hanya diberi cuti dua hari, jadi sebelum cuti kami terpaksa serahkan pasport kepada majikan dan ia hanya dipulangkan selepas kami pulang ke tempat kerja esok.
"Mereka takut kami akan melarikan diri... Jika tidak, gaji kami akan dipotong," katanya.
Walaupun tidak menyambut Hari Raya, dia berasa gembira kerana dapat bersiar-siar di sekitar ibu kota bersama-sama dengan rakan-rakan senegara dalam tempoh cuti dua hari itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Puduraya, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dibanjiri warga asing yang tidak pulang ke kampung halaman pada hari lebaran.
Fenomena ini dilihat sudah menjadi kebiasaan buat warga asing yang bekerja di sini yang mengambil kesempatan cuti dua hari ini untuk bersiar-siar atau ‘melepak’ secara berkumpulan di 'ruang lompang' sekitar ibu kota.
Bagaimanapun, bukan semua menyenangi kehadiran mereka.
Pengawal keselamatan bank Siti Ramlah Ibrahim, 45, berkata, dia terpaksa menghalau warga asing yang melepak di sekitar kawasan bank, terutamanya di ruang mesin ATM bagi menjaga kebersihan.
"Mereka duduk di atas lantai secara beramai-ramai kerana di sini ada 'aircond', jadi saya memarahi mereka yang degil kerana ada yang sudah dihalau tetapi datang balik duduk di sini.
"Selain menyebabkan bau busuk, mereka juga meninggalkan sampah sarap di tepi-tepi bangunan dan tidak tahu membuang sampah ke dalam tong," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!