Berhenti tarik tali kes Adib

Syahrulzaman, Pemuda Tanjung Piai
Syahrulzaman, Pemuda Tanjung Piai
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dituntut diselesaikan dengan segera selain bebas daripada sebarang campur tangan luar.

Perkara itu disuarakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai yang menyifatkan perkembangan kes tersebut seperti sengaja dilengahkan serta berlaku aksi tarik tali antara pelbagai pihak.

Ketuanya, Syahrulzaman Ibrahim berkata, pihaknya bersimpati kepada keluarga Allahyarham kerana pihak kerajaan dilihat mengambil sikap sambil lewa selain tidak memberikan sebarang petunjuk dan serius terhadap kes berkenaan.

"Sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas mengemukakan beberapa sebab kenapa peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor tidak boleh mewakili KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues ke atas kematian Muhammad Adib.

"Antaranya konflik kepentingan kerana Syazlin juga mewakili keluarga Allahyarham. Ia suatu yang mencurigakan kerana telah 35 sidang diadakan barulah peguam negara menyatakan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lebih mencurigakan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri KPKT, (Zuraida Kamaruddin) dan Tommy dilihat seakan menarik tali terhadap kes itu hingga mencetuskan persoalan wujud satu percaturan dan konspirasi dalaman.

Syahrulzaman berkata, insiden menyayat hati yang berlaku kira-kira enam bulan lalu itu juga turut mencetuskan persoalan adakah ia akan terus berlarutan dan siapa pula selepas ini akan mewakili keluarga anggota bomba yang terkorban itu.

"Zuraida memaklumkan beliau sendiri akan memilih seorang daripada mereka untuk mewakili KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Adakah akan bertukar lagi peguam?

Artikel Berkaitan:

"Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember tahun lalu dan amat perlukan pembelaan adil dan tegas. Janganlah ada campur mana-mana pihak terhadap perkara ini. Biarkan mahkamah menyelesaikan tugasnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan tidak mengambil sikap sambil lewa dan memandang serius berhubung perkembangan kes tersebut dari semasa ke semasa.

"Jangan lindungi sesiapa yang bersalah, pastikan kes kematian arwah Adib mendapat pembelaan telus dan adil dan sebaik-baiknya mengikut undang-undang.

"Sekali lagi Pemuda UMNO Johor dan Bahagian Tanjung Piai ingin mendapatkan maklum balas kenyataan dari menteri yang bertanggungjawab untuk memperjelaskan kepada Malaysia berkaitan isu ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!