Ruhainies kekalkan tradisi raya

Pelakon, Ruhainies
Pelakon, Ruhainies
A
A
A

STATUSNYA sebagai seorang artis tidak pernah mengubah diri Ruhainies, begitu jugalah dengan sambutan hari raya. Biarpun semakin popular namun baginya raya tetap sama seperti sebelum dikenali.

Paling dinantikan setiap kali menjelang Syawal tentunya pulang ke kampung di kepala batas, Pulau Pinang. Kemeriahan raya yang sentiasa dirindukan dari zaman kecil sehinggalah kini.

“Setiap tahun saya akan pulang beraya di Pulau Pinang dan itu memang akan menjadi kemestian kami sekeluarga. Kalau balik sana baru rasa suasana raya sebab sambutannya sangat meriah. Maklumlah kami ada ramai keluarga di Pulau Pinang.

“Rutin keluarga kami adalah mengadakan rumah terbuka selama seminggu bagi meraikan tetamu dengan pelbagai juadah yang dimasak oleh mak saya sendiri. Ia adalah tradisi raya kami seisi keluarga.

“Berbanding persiapan raya lain, kami memang akan memberi lebih perhatian kepada soal juadah kerana ia adalah tumpuan utama setiap kali tetamu datang bertandang,” katanya yang menggemari juadah ayam piru masakan ibunya.

Tambah pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, ini lagi memandangkan kesemuanya adik-beradiknya adalah perempuan tugas mereka kebanyakan di dapur membantu ibu.

“Saya memang tak tahu memasak sangat apatah lagi untuk juadah raya yang terdiri daripada pelbagai menu yang semuanya susah dan jarang kita masak pada hari-hari biasa.

“Jadi tugas saya hanya membantu ibu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan dan menyibuk di dapur bersama adik-beradik yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Itulah suasana yang hanya berlaku bila menyambut raya. Jadi setiap kali raya menjelang memang itulah yang selalu saya rindu dan tak sabar nak buat. Kalau raya di Kuala Lumpur memang tak meriah sangatlah seperti itu,” katanya.

Baju raya sedondon

Pelakon Anugerah Cinta Aishah ini juga mengakui sering terkenangkan arwah neneknya setiap kali menjelang Aidilfiti. Terlalu banyak kenangan manis yang dilaluinya bersama arwah neneknya.

“Dalam kemeriahan menyambut raya jauh di sudut hati saya sering terkenangkan arwah nenek yang telah lama pergi meninggalkan kami sekeluarga. Terlalu banyak kenangan manis terutamanya bila menjelang raya begini bersama dengan arwah.

“Kalau dulu pada raya pertama kami semua akan berkumpul di rumah nenek dan beraya dengan nenek terlebih dahulu sebelum buat perkara-perkara lain. Paling best dapat duit raya daripada nenek.

“Sekarang ni selepas nenek sudah tiada kami sekeluarga hanya akan menghabiskan raya pertama di rumah sahaja,” kata Ruhanies yang memperuntukkan duit raya sebanyak RM2 ribu untuk diberikan kepada kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya.

Dalam pada itu, Ruhainies juga mengakui rayanya pada tahun ini begitu bermakna kerana ia turut diraikan bersama insan istimewa dalam hidupnya. Meskipun jarak memisahkan namun bagi Ruhanies ia bukanlah satu alasan.

“Tahun ini si dia tidak dapat pulang beraya dan hanya meraikan Aidilfitri di London kerana tuntutan kerja.

“Namun ia tidak menjadi masalah kerana kami masih boleh berkongsi kemeriahan raya masing-masing dengan pelbagai cara. Malah kami juga sepakat memilih baju raya sedondon pada tahun ini.

“Saya harap raya tahun ini menjadi lebih bermakna buat kami berdua berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!