Perubahan kepimpinan beri ruang baharu buat Umno
SHAH ALAM - Perubahan kepimpinan atasan Umno bakal memberi ruang baharu buat parti Melayu itu untuk terus kekal relevan dalam pentas politik tanah air.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata namun begitu, untuk memastikan Umno pulih semula, kepimpinan tertinggi parti perlu memainkan peranan bagi mengukuhkan kedayaupayaan mereka dengan sebaiknya dan bergerak sebagai satu pasukan.
Beliau berkata, Umno perlu kembali kepada perjuangan asal berteraskan nilai intergriti, moral dan budaya politik baharu yang gagal dilaksanakan oleh barisan kepimpinan sebelum ini disebabkan oleh faktor-faktor sampingan.
"Sepatutnya dengan perubahan kepimpinan ini, mungkin akan berikan satu ruang baharu buat Umno. Namun sama ada ia dapat memulihkan semula parti itu, ia hanya bergantung kepada kedayaupayaan pemimpin atasan mereka sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Sivamurugan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebelum ini yang menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Tindakan tersebut dibuat ekoran beberapa pihak menuntut beliau untuk melepaskan jawatan berkenaan selepas gagal menerajui Umno susulan tindakan 17 ahli Parlimennya keluar parti.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata situasi Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti itu dijangka akan reda buat sementara waktu susulan daripada pengumuman oleh Ahmad Zahid tersebut.
"Jadi dengan peluang ini, Mohammad perlu memainkan peranannya sebaik mungkin untuk pastikan pemimpin Umno ini kekal bersama parti serta tidak tercabar dengan desakan pihak luar.
"Ada dua faktor perlu diberi perhatian iaitu untuk pastikan penyokong sedia ada kekal bersama Umno dan memastikan faktor luar tidak mendominasi politik dalaman Umno sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Sivamurugan menjelaskan bahawa penyerahan kuasa kepada Mohamad itu juga merupakan satu penanda aras kepada perubahan Umno namun parti Melayu itu juga perlu melihat beberapa perkara lain yang lebih penting.
Beliau berkata, faktor seperti kekalahan Umno serta pengurangan sokongan kaum Melayu dan bukan Melayu seharusnya dikaji semula secara mendalam oleh kepimpinan parti selepas ini.
"Tak guna jika berubah kepimpinan namun faktor-faktor ini tidak berubah. Dan kepimpinan perlu beri perhatian terhadap perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!