Kritikan adalah ujian buat Latheefa, kata Mat Sabu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kritikan dilemparkan kepada Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya adalah ujian kepada kewibawaan beliau dalam menjalankan tugas bersama SPRM.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendengar kritikan tersebut yang turut datang daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Saya penuh yakin Perdana Menteri akan mendengar kritikan-kritikan terhadap keputusannya dan akan menilai prestasi Latheefa dari semasa ke semasa.

“Jikalau prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik, saya yakin Perdana Menteri akan membuat penilaian semula.

“Keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada kerajaan PH yang cuba memperbaharui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Latheefa menerusi satu kenyataan menegaskan sesiapa pun berhak mengkritik, menyoal dan mengeluarkan pandangan berhubung pelantikannya memegang jawatan tersebut.

Beliau yang memulakan tugas pada hari ini menegaskan cakna dengan pelbagai pendapat yang dikeluarkan selepas dilantik memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, semua pihak berhak mengeluarkan pandangan namun Latheefa memaklumkan tugasnya kini adalah untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Dengan sokongan, dokongan rakyat dan pegawai-pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah.

“Saya juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang termasuk juga pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah,” katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa 1 Jun lepas menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!