Dua keluarga terpaksa beraya di pusat pemindahan

No Image Caption
A
A
A

KAMPAR - Hujan lebat lebih enam jam sejak 4 petang semalam menyebabkan dua keluarga terpaksa menghabiskan baki cuti perayaan mereka di pusat pemindahan sementara di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang.

Paras air mula naik sekitar jam 10.20 malam dan kediaman mereka masing-masing di Kampung Cabang Dua Kuala Dipang dinaiki air lebih 0.3 meter.

Seramai 14 mangsa termasuk enam kanak-kanak ditempatkan di situ bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Maziah
Maziah

Seorang daripada mangsa, Maziah Mohd Nor, 70, berkata, walaupun paras air tidak tinggi, namun keadaan rumah tidak selamat kerana mengundang kehadiran haiwan berbisa.

"Malam tadi sahaja, dua ekor lipan, lintah dan pacat dah masuk dalam rumah, bila pihak berkuasa sarankan berpindak, kami setuju sahaja walaupun berat nak tinggalkan rumah, lagi-lagi pada hari raya ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, perasaan sayu dan sedih bercampur baur dalam hati kerana ini kali pertama dia meraikan hari raya di pusat pemindahan.

Dua rumah dimasuki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.
Dua rumah dimasuki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.



Artikel Berkaitan:

Air melimpah masuk ke rumah penduduk.
Air melimpah masuk ke rumah penduduk.

"Sedih memang sedih, patutnya waktu begini masa kita dengan anak cucu, saudara mara datang ziarah, tapi apa boleh buat, tahun ini dugaan buat makcik sekeluarga.

"Makanan raya yang makcik masak pun mungkin dah basi, peralatan rumah macam peti ais dan mesin basuh yang baru beli mungkin ada yang rosak," katanya.

Maziah berkata, kejadian itu boleh dielak sekiranya saluran longkang yang terdapat di kawasan itu diselenggara dengan baik.

"Selama ini kalau hujan lebat pun air boleh mengalir keluar, tetapi sejak ada projek berhampiran, saluran tersekat, itu yang air bertakung sampai masuk dalam rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mazlin Mohamed Aspara, 31, berkata, sehingga jam 5 petang, semalam belum ada tanda air surut dan sekiranya hujan berterusan keadaan banjir akan ditambah buruk.

Katanya, sekiranya keadaan masih sama, mereka mungkin perlu tinggal di pusat pemindahan dalam tempoh lebih lama.

Maziah ketika ditemui di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang.
Maziah ketika ditemui di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang.

"Semalam empat jam kami cuba cedok air keluar guna tong dan cangkul, tapi hujan terlalu lebat, air tetap masuk dalam rumah.

"Sekarang ni dah tak ada mood raya, kami cuma nak cepat balik dan kemas rumah sahaja," katanya.

Kemua mangsa dipindahkan dengan bantuan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!