Jiran terkejut beruang 'minta' makanan
KUALA LUMPUR - Bunyi bising dari sebuah unit tidak berpenghuni di tingkat 16 sebuah kediaman bertingkat di ibu negara mengejutkan jiran tetangga apabila rupa-rupanya terdapat seekor beruang matahari yang 'menjengah' di salah satu tingkap dapur unit berkenaan.
Beruang itu dipercayai sedang kelaparan kerana dikatakan ditinggalkan sejak dua hari oleh penghuni yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Insiden berlaku kira-kira jam 4.57 petang semalam itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Ida Shareena yang juga penduduk di situ namun mendapat maklumat berkenaan daripada jiran-jiran menerusi 'group WhatsApp' ketika dia berada Muar, Johor.
Menerusi perkongsian itu, Ida Shareena memaklumkan pada awalnya, kehadiran beruang itu disangka sebagai satu gurauan oleh individu yang memakai pakaian beruang untuk menakutkan kanak-kanak.
Bagaimanapun katanya, tindakan salah seorang jiran di unit bawah unit berkenaan merakamkan video beruang itu cuba keluar dari tingkap membuktikan insiden itu benar-benar sedang berlaku.
"Nasib baik pemilik unit itu sendiri begitu rensponsif dan menghubungi pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut pemilik berkenaan, unit itu disewa oleh dua orang wanita," katanya menerusi perkongsian itu.
Penyewa unit berkenaan kemudiannya dihubungi dan operasi menyelamat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Jabatan Perhilitan sebaik sahaja salah seorang penghuni itu pulang dan membuka pintu rumah.
Ida Shareena dalam perkongsian itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan Jabatan Perhilitan atas tindakan pantas yang dilakukan bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Dia berharap agar pemilik haiwan berkenaan dihukum dan beruang itu dijaga dengan baik serta dihantar kembali ke habitat asal dan turut meninggalkan pesan agar orang ramai berhenti membela haiwan liar dan haiwan terancam secara haram sebagai haiwan kesayangan di rumah kerana ia adalah satu tanggungjawab yang begitu besar.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, mengesahkan kejadian dan memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 petang sebelum 6 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dihantar ke lokasi kejadian.
“Anak beruang yang setinggi 3 kaki telah ditangkap kemudian diserahkan kepada pegawai perhilitan dan operasi tamat pada jam 7.42 malam.
“Beruang berkenaan dipelihara tanpa permit,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!