SWCorp ‘selamatkan’ makanan jadi sampah
KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,385.6 kilogram makanan di Wilayah Persekutuan berjaya ‘diselamatkan’ daripada menjadi sisa buangan hasil Program ‘MYSaveFood’ inisiatif yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan pada Ramadan lalu.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd. Zahir Shari berkata, program dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) itu bagi mengelak atau mengurangkan makanan yang masih boleh dimakan daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.
Menurutnya, makanan dan minuman ini diambil daripada gerai bazar-bazar Ramadan terpilih di tujuh buah negeri yang menguatkuasakan Akta 672 termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Bagi Wilayah Persekutuan, bazar yang terpilih adalah Bazar Ramadan Kampung Baru, Lembah Pantai dan Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya ia dilaksanakan pada 12 Mei sehingga 17 Mei 2019 di mana sebanyak 460 peniaga bersetuju untuk terlibat sama menyumbang makanan dan minuman mereka.
“Makanan dan minuman tersebut hendaklah dipastikan masih elok dan selamat dimakan. Selepas dikumpulkan, ia akan diagihkan kepada pihak yang memerlukan melalui NGO yang terlibat.
“Jumlah makanan dan minuman yang berjaya dielak daripada dibuang dan dapat diagihkan sebanyak 2,385.6 kilogram dengan masing-masing 1,109.6 kilogram di Putrajaya, 563.4kg di Kampung Baru dan 712.4 kilogram di Lembah Pantai,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, makanan yang dikumpulkan diberikan ke Perkampungan Orang Asli Kampung Baja Dengkil, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ummi Kajang, Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha Sungai Merab Luar, petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, pekerja Alam Flora Sdn Bhd, Madrasah Al Falah, fakir miskin Blok A PPR Kerinchi, Flat PKNS dan PICOM Asrama 12.
“Berdasarkan trend pengumpulan data, diperhatikan terdapat penurunan pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual tetapi masih boleh dimakan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif yang menunjukkan peniaga sedar penyediaan juadah untuk dijual perlu dibuat berasaskan situasi semasa dan tabiat membeli pengunjung bazar Ramadan.
“Harapan SWCorp, dengan usaha ini masyarakat akan sedar bahawa pembaziran makanan yang tidak sepatutnya berlaku dapat dielakkan. Penghasilan makanan secara berlebihan di bulan puasa sewajarnya dapat dielakkan sekaligus meminimakan penjanaan sisa makanan ke tapak pelupusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!