Penyanyi wanita ditahan pelihara beruang secara haram
KUALA LUMPUR - Anak beruang matahari yang diselamatkan dari sebuah kondominium di ibu negara semalam rupanya milik seorang penyanyi wanita.
Susulan insiden itu selebriti berkenaan ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada jiran wanita itu berhubung penemuan beruang berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan mengejut malam semalam.
“Serbuan dijalankan di sebuah kondominium di Desa Pandan. Hasil pemeriksaan, kami menemui seekor beruang matahari yang disimpan dalam sangkar di kediaman itu," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati penyanyi rock itu tidak memiliki dokumen sah daripada PERHILITAN bagi pemilikan hidupan liar terbabit.
“Susulan itu, beruang berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat PERHILITAN untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pegawai PERHILITAN yang terbabit juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras berhubung kes ini.
“Siasatan dilakukan untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab membekalkan beruang berkenaan kepada artis wanita itu.
"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum hingga RM500,000 dan penjara lima tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!