Projek mega harus dikaji Parlimen dengan bebas: MTEM
KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan agar melaksanakan beberapa perkara antaranya berkaitan projek mega dan gaji minimum bagi memastikan pendekatan berteraskan Kemakmuran Bersama dapat dijayakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman dalam satu kenyataan menjelaskan, selain itu semua projek mega harus dikaji oleh Parlimen dengan bebas, merentasi parti politik dan bebas daripada pengaruh eksekutif.
"Pemain industri tempatan dan Bumiputera perlu meraih lebih banyak manfaat daripada projek mega berbanding syarikat-syarikat gergasi dari luar negara dan perlu ada banyak projek mini berimpak tinggi berbanding projek mega yang kecil bilangannya tetapi mempunyai kos yang sangat tinggi," katanya.
Ahmad Yazid berkata, MTEM turut mengesyor agar kerajaan mengurangkan bilangan pendatang asing tanpa izin di negara ini agar ekonomi Malaysia berubah menjadi ekonomi berasaskan kemahiran tinggi dan bukannya pemburuhan bergaji rendah.
"MTEM juga mencadangkan kerajaan agar melaksanakan undang-undang anti-diksriminasi yang ketat dan menyeluruh untuk hapus sebarang bentuk diskriminasi di sektor pekerjaan dan tingkatkan gaji minimum secara berperingkat agar mencapai RM1,500 sebulan sebelum pilihan raya umum yang seterusnya," katanya.
MTEM adalah sebuah 'payung' organisasi yang mewakili lebih 50 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu di peringkat nasional dan 120 NGO di peringkat negeri.
Ia mewakili lebih 500,000 perniagaan Melayu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!