Folger pengganti terbaru SuperKIP

Jonas Folger - Foto sumber internet
Jonas Folger - Foto sumber internet
A
A
A

PELUMBA berpengalaman Jerman, Jonas Folger akan menggantikan slot Khairul Idham Pawi untuk pasukan Petronas Sprinta Racing pada tiga pusingan akan datang dalam saingan Moto2 pada perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Pelumb berusia 25 tahun itu, yang memiliki pencapaian menyeluruh 25 keputusan podium dalam kelas Moto2 dan MotoGP, akan mewakili pasukan itu pada pusingan ketujuh Grand Prix (GP) Catalunya di Sepanyol dari 14 hingga 16 Jun, GP Belanda (28-30 Jun) dan GP Jerman dari 5 hingga 7 Julai.

Khairul Idham, 20, atau dikenali sebagai SuperKIP, kini dalam proses pemulihan susulan pembedahan jari kelingking kanannya selepas terbabit dalam kemalangan semasa sesi latihan bebas pada GP Sepanyol, 4 Mei lalu.

Beliau, bagaimanapun, dijadual cergas sepenuhnya menjelang GP Republik Czech, 4 Ogos ini.

Ekoran kecederaan Khairul Idham, pasukan telah menggunakan khidmat Mattia Pasini untuk perlumbaan GP Perancis pada 19 Mei dan GP Itali pada 2 Jun lalu sebelum pelumba Itali itu mengalami patah tulang selangkanya dalam kemalangan motocross selepas itu.

Prinsipal Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali, berkata pasukan itu mendapat peluang hebat untuk mendapatkan khidmat pelumba pengganti yang berkaliber dan yakin pengalaman Folger dapat membawa keputusan yang baik untuk pasukan tersebut.

"Beliau akan membawa nilai tambahan kepada pasukan dan membantu meningkatkan program pasukan dalam saingan Moto2 dengan kembalinya Khairul Idham musim ini. Kami mahu pasukan ini cukup mantap untuk kepulangan semula Khairul Idham,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan Khairul Idham bagi memastikan beliau kembali semula pada masa yang sesuai bagi meneruskan cabaran musim ini,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!